Kilang haram: Tindakan Kerajaan Selangor lambat

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) mendesak Kerajaan Negeri Selangor untuk bertindak lebih tegas dan lebih pantas berkaitan operasi kilang haram yang berlonggok dalam negeri ini sejak bertahun dahulu.

Amat mengejutkan apabila tular berita sebanyak 308 buah kilang haram beroperasi dalam kawasan di bawah Majlis Perbandaran Selayang sahaja, belum termasuk di bawah kawasan PBT yang lain. 

Dengan isu terbaru apabila pencemaran air sungai, maka inilah masa terbaik bagi Kerajaan Negeri Selangor mengubah dasar sebelum ini yang membenarkan operasi kilang dalam masa yang sama memohon permit kepada dasar tidak membenarkan sebarang operasi kilang sehingga permit atau lesen diberikan. Operasi kilang bukan seperti operasi penjaja, kerana kilang kesan pencemaran dalam operasinya lebih besar apatah lagi jika melibatkan barangan berat.

- Advertisement -

Sehingga ke hari ini, kilang yang disyaki punca kebenaran masih belum diambil tindakan tegas dan dirobohkan. Sedangkan jika kita lihat perbandingan dengan operasi yang berlaku ke atas penjaja kecil sebelum ini amat tegas. Tidak perlu ‘double standard’ dalam hal ini apatah lagi operasi kilang haram tersebut jelas memudaratkan orang ramai apabila berlakunya pencemaran sungai sehingga berlaku gangguan air yang sehingga ke hari ini masih ada beberapa tempat yang bermasalah. 

Kerajaan Negeri Selangor perlu  bertanggungjawab dan jangan pula menyalahkan pihak lain apabila tularnya Kenyataan Media Peguam Negara pada 7 September 2020, apabila menafikan dakwaan Menteri Besar Selangor bahawa pihak Peguam Negara tidak mengambil apa-apa tindakan berkenaan pencemaran air pada bulan April 2020 yang lalu. 

Rakyat mahukan penyelesaian yang membela kebajikan rakyat. Tiada guna jika tiada lagi tindakan tegas untuk merobohkan kilang haram yang menjadi punca pencemaran sungai serta memindahkan semua operasi kilang yang berdekatan persisiran sungai ke lokasi yang lebih selamat. 

“Demi Islam”
“Pemuda Bangkit Demi Islam”

USTAZ HANAFI ZULKAPLI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 8/9/2020

- Advertisement -