Kerajaan PN usaha basmi kemiskinan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Program pembasmian kemiskinan di negara ini dilakukan bukan sahaja mengambil kira soal kaum dan bangsa, tetapi juga fakta-fakta lain dalam usaha mewujudkan peluang yang adil dan saksama kepada semua rakyat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia bagi memastikan kekayaan dapat diagih dan dinikmati secara bersama.

“Dasar kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah untuk melaksanakan program pembasmian kemiskinan secara menyeluruh dan ini mengambil kira perbezaan bumiputera dan bukan bumiputera, wilayah dan bukan wilayah termasuk di Sabah dan Sarawak dengan pelbagai inisiatif yang dilakukan pada masa lepas,” katanya.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian pada persidangan Dewan Negara semalam bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Senator Datuk Razali Idris mengenai inisiatif kerajaan dalam mengatasi masalah kemiskinan di negeri seperti Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Muhyiddin berkata penekanan kerajaan kepada usaha membangunkan sosioekonomi bumiputera tidak bermakna kerajaan mengabaikan golongan bukan bumiputera dan kerana itu, kerajaan mewujudkan dasar Wawasan Kemakmuran Bersama yang mengambil kira kepentingan semua kaum.

“Bumiputera adalah sebahagian besar daripada populasi di negara ini iaitu hampir 70 peratus. Ini menyebabkan kerajaan menumpukan kepada mereka demi membangunkan ekonomi negara secara keseluruhan,” katanya.

Perdana Menteri bagaimanapun berkata kerajaan sentiasa prihatin dengan masalah setiap kaum dan tidak akan mengabaikan mana-mana golongan, khususnya dalam soal kemiskinan.

“Kita tidak boleh biarkan bukan bumiputera miskin dan hanya Melayu (bumiputera) kita kayakan… tidak boleh. Kita mesti ada satu dasar yang adil untuk semua kaum di negara ini,” katanya.

Jelas Muhyiddin antara masalah yang dihadapi oleh kerajaan dalam usaha untuk membasmi kemiskinan adalah ketiadaan pangkalan data yang mempunyai maklumat lengkap tentang pencapaian bumiputera dalam pelbagai sektor ekonomi ketika ini.

Untuk itu, katanya kerajaan mewujudkan teraju Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) iaitu sebuah badan di bawah Jabatan Perdana Menteri, bertindak sebagai sekretariat yang menyelaras dan memacu agenda bumiputera dalam usaha meningkatkan penguasaan golongan itu dalam ekonomi negara.

Selain itu, bagi memperkasakan ekonomi bumiputera, Muhyiddin berkata tumpuan akan diberikan kepada bidang-bidang tertentu seperti sektor perindustrian, perbankan, pembuatan dan elektronik.

Ia bagi mengenal pasti kelemahan golongan bumiputera untuk membolehkan kerajaan memperkenalkan inisiatif tertentu supaya dapat memastikan mereka tidak jauh ketinggalan berbanding kaum lain.

Menjawab soalan asal Razali mengenai keberkesanan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB), Muhyiddin berkata tahap kemiskinan bumiputera pada 2019 adalah sebanyak 7.2 peratus berbanding kaum lain, manakala kadar pengangguran bumiputera bagi suku kedua tahun ini adalah 5.2 peratus, berbanding purata nasional sebanyak 5.1 peratus.
 
Katanya, pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor korporat pada 2015 pula, cuma pada tahap 16.2 peratus, berbanding bukan bumiputera sebanyak 30.7 peratus dan pegangan asing sebanyak 45.3 peratus.

Sehubungan itu, katanya penubuhan MKB merupakan platform tertinggi untuk memperbaharui dan memperkukuh pembangunan sosioekonomi bumiputera.

“Penubuhan majlis ini juga adalah sebahagian daripada kerangka intervensi strategik untuk memandu dan mempercepat pemerkasaan ekonomi bumiputera melalui usaha-usaha peningkatan kapasiti dan keupayaan merentas pelbagai program.

“Bagi memastikan majlis ini mencapai objektif penubuhannya, ia akan didukung oleh dua Jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Pemandu yang akan dipengerusikan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) dan Jawatankuasa Kerja yang akan dipengerusikan oleh Ketua Pegawai TERAJU.

“Kedua-dua Jawatankuasa ini akan bersidang secara berkala serta melibatkan semua agensi pelaksana berkaitan,” kata Perdana Menteri, menambah Jawatankuasa Pemandu majlis berkenaan telah bersidang buat kali pertama pada 11 Ogos lepas.

Menurutnya, pencapaian kementerian, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan dalam menggerakkan agenda pemerkasaan bumiputera ini, akan dipantau dan dinilai melalui satu rangka kerja Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang bakal melibatkan semua ketua agensi berkaitan. – BERNAMA

- Advertisement -