KASA akan tubuh Unit Jenayah Alam Sekitar

- Advertisement -

KUALA SELANGOR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan menubuhkan Unit Jenayah Alam Sekitar dalam masa terdekat bagi menangani isu pencemaran, kata Menterinya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata langkah jangka sederhana itu akan melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menyelaras tindakan dengan agensi penguat kuasa KASA.

“Saya telah berbincang dengan Menteri Kanan Pertahanan (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) serta akan berbincang dengan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hamzah Zainudin) bagi menyelaras tindakan bersama antara agensi penguat kuasa KASA dengan ATM dan PDRM.

- Advertisement -

“Secara dasarnya Menteri Kanan Pertahanan bersetuju untuk KASA diletakkan di bawah sektor keselamatan memandangkan isu berkaitan air dan alam sekitar dilihat berpotensi menjejaskan keselamatan negara terutamanya ekonomi dan kesejahteraan rakyat sekiranya sebarang bencana berlaku,” katanya pada sidang media selepas melawat Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) di sini, semalam.

Berhubung insiden pencemaran air di Sungai Selangor pada minggu lepas, katanya Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sedang menyediakan dua kertas siasatan iaitu di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655)  dan dijangka siap selewat-lewatnya Jumaat ini.
 
Tuan Ibrahim berkata  pihaknya juga akan mempercepatkan pindaan terhadap kedua-dua akta berkenaan, antara lain bagi mengenakan penalti lebih berat, dan bercadang membentangkannya pada persidangan Parlimen akan datang.

“Saya akan memastikan JAS melakukan pemantauan ke atas kualiti air mentah secara berkala serta mempertingkat kekerapan operasi melalui penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 …(terutama) di huluan muka sauk,” katanya.

Katanya, kerajaan juga mengkaji untuk memperluas pelaksanaan Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) untuk digunakan sebagai sumber air mentah alternatif sekiranya berlaku insiden pencemaran sungai.

Tuan Ibrahim berkata TAPS adalah kaedah penyimpanan air mentah menerusi kolam di kawasan hilir, pinggir sungai dan berhampiran loji selain boleh membantu mengawal situasi banjir dan ia tidak menelan belanja besar malah mampu menjana ekonomi setempat.

Selain itu, katanya, KASA juga merancang menempatkan lima stesen pemantauan di 20 batang sungai utama untuk memantau kualiti air secara tepat masa pada masa depan supaya amaran awal dapat diberikan bagi mempercepatkan penguatkuasaan oleh JAS dan SPAN sekiranya berlaku pencemaran.

“KASA akan mengemukakan kepada Jemaah Menteri kertas cadangan inisiatif ini untuk memastikan sumber air mentah tidak dicemari hingga menyebabkan gangguan bekalan air,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -