Hub coklat Langkawi rancakkan sektor koko

KUALA LUMPUR: Pewujudan hab coklat di Pulau Langkawi akan merancakkan pembangunan sektor hiliran koko di pulau itu dengan meningkatkan aktiviti pengeluaran serta promosi produk-produk coklat oleh usahawan tempatan.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Willie Anak Mongin berkata, model pewujudan hab coklat di Langkawi adalah menggalakkan penyertaan usahawan coklat tempatan dengan menyediakan rangkaian niaga setempat yang dilengkapi pelbagai kemudahan untuk pembuatan dan penjualan coklat.

Advertisement

Katanya ketika jawab lisan bagi pertanyaan Senator Asmak Husin yang meminta kementeriannya menyatakan model hab coklat yang akan dibangunkan di Pulau Langkawi dan sejauh mana impak positif kepada industri koko di Malaysia dalam jangka pendek dan panjang.

Mengulas lanjut beliau berkata, usaha tersebut akan menarik lebih ramai usahawan terbabit dalam pembangunan hab coklat ini, sekali gus mempertingkatkan industri pelancongan tempatan.

Dalam pada itu katanya, industri koko negara telah menyumbang kepada pendapatan eksport sebanyak RM6.6 bilion pada tahun 2019 dengan sumbangan di sektor hiliran koko kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak RM1.6 bilion manakala sumbangan bagi enam bulan pertama tahun 2020 adalah sebanyak RM413.43 juta.

Willie berkata, produk-produk berasaskan koko Malaysia mempunyai pasaran yang luas dan diterima baik oleh pengguna pada peringkat antarabangsa.

Katanya, sektor pembuatan coklat mencatat pendapatan eksport sebanyak RM1.14 bilion, iaitu 17.3 peratus daripada jumlah pendapatan eksport koko dan produk-produk koko pada tahun 2019, iaitu peningkatan sebanyak 10.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Namun tambah beliau, bagi tempoh enam bulan pertama pada tahun 2020, eksport produk coklat mencatatkan pendapatan sebanyak RM425.67 juta.

Di samping itu, aktiviti promosi produk-produk coklat di Langkawi dipergiatkan lagi melalui kerjasama dengan pihak industri terutamanya premis jualan bebas cukai bagi menjual produk coklat keluaran tempatan khususnya usahawan coklat.

Manakala katanya, sebagai nilai tambah kepada hab ini, sebuah Muzium Coklat akan dibangunkan oleh syarikat swasta dengan kerjasama kerajaan negeri.

Hab coklat yang dibangunkan di Pulau Langkawi dijangka akan memberikan kesan dan impak yang besar kepada industri pembuatan coklat tempatan. – HARAKAHDAILY 8/9/2020