Giat promosi produk kraf

Kerajaan giat promosi produk kraf
Komplek Kraf Langkawi

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia giat mempromosikan produk kraf tempatan bagi membantu meningkatkan ekonomi pengusahanya yang lumpuh akibat pandemik Covid-19.

Timbalan Menterinya, Dato’ Dr Jeffrey G Kitingan berkata, Kompleks Kraf Langkawi telah bekerjasama dengan Perbadanan Pelancongan Kedah melalui tourist information center yang akan mempromosikan dan memberikan publisiti mengenai produk kraf tempatan di tiga lokasi utama di Langkawi iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, jeti dan di Kompleks Pekan Rabu.

Advertisement

“Ini bertujuan mempromosi dan memberikan publisiti mengenai produk kraf tempatan dan hebahan akan dibuat menggunakan platform media sosial,” katanya dalam sidang Dewan Negara hari ini menjawab pertanyaan daripada Senator Dato’ Isa Ab Hamid berkenaan tindakan kerajaan untuk membantu memulihkan ekonomi pusat pelancongan.

Sementara itu katanya, pembangunan produk kraf baru turut dilaksanakan bagi segmen produk pelancongan berbentuk cenderamata khusus bagi produk kristal, ukiran kayu, seramik dan batik ikat celup untuk ditawarkan kepada pelancong di dalam dan luar negara.

Jelasnya, seramai 34 usahawan menceburi bidang tersebut di Langkawi sehingga penghujung Julai lalu dan mereka telah mendapat pulangan jualan sebanyak RM1.3 juta sehingga setakat ini. – HARAKAHDAILY 8/9/2020