CUEPACS gesa kerajaan laksana SSM baharu

- Advertisement -

LAHAD DATU: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan mempercepat pelaksanaan Sistem Saraan Malaysia (SSM) baharu berikutan sistem saraan masa kini telah digunakan sejak 18 tahun lepas, kata Presidennya Adnan Mat.

“Sepatutnya kerajaan mengadakan sistem saraan setiap lima tahun dan dalam tempoh itu gaji penjawat awam perlu dilihat semula. CUEPACS rasa perkara ini perlu dilaksanakan dengan segera oleh pihak kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan sijil penghargaan CUEPACS bagi petugas barisan hadapan di sini, semalam.

Adnan berkata perkara itu perlu dipercepatkan ekoran penetapan gaji minimum penjawat awam yang digunakan ketika ini adalah RM1,200 sebulan, berada di bawah paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) iaitu RM2,208.

- Advertisement -

Sementara itu, beliau berkata CUEPACS menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai penggunaan sistem kerajaan elektronik (e-kerajaan) sebagai satu penambahbaikan dalam sektor perkhidmatan awam.

“Kita juga sambut baik apabila kerajaan juga tidak berhasrat untuk mengurangkan jumlah 1.62 juta penjawat awam sedia ada dan bilangan pekerja ini adalah munasabah untuk negara yang memiliki lebih 32 juta penduduk.

“Sektor utama iaitu kesihatan, polis, tentera dan pendidikan adalah wajib wujud, sama ada ketika negara ini aman atau sebaliknya,” katanya sambil menambah ketika ini jumlah penjawat awam untuk empat sektor utama berkenaan mencecah 1.1 juta.

Menurut Adnan, penjawat awam sedia ada perlu dikekalkan kerana penting untuk mendekati rakyat dalam perkara tertentu yang tidak boleh dilakukan sistem e-kerajaan. – BERNAMA

- Advertisement -