Stesen minyak Yik di setiap jajahan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Yayasan Islam Kelantan (Yik) melalui anak syarikat, Akademi Yik mengorak langkah bagi meningkatkan lagi sumber pendapatan.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, penubuhan agensi itu bagi menerajui perniagaan dengan kerjasama Bousted Petroleum Marketing.

- Advertisement -

“Kita tubuhkan Akademi ini khusus untuk perniagaan di bawah Yik, jadi ini antara langkah yang pertama dengan membuka stesen minyak BHPetrol.

“Kita belum mempunyai apa-apa sasaran lagi, cuma kalau ada sambutan baik, saya cadangkan supaya setiap jajahan ada stesen minyak dengan kerjasama Bousted Petroleum,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan stesen minyak BHPetrol di Bandar Baru Tunjung yang dimiliki Yayasan Islam Kelantan di sini, semalam.

Turut hadir anggota Exco Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan; Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Shahidani Abd Aziz dan Pengerusi Bousted Petroleum Marketing, Lt. Jen (B) Dato’ Khairuddin Mat Yusof.

Mohd Amar berkata, sehingga hari ini pulangan yang diperolehi antara RM10,000 hingga RM15,000 sehari sejak beroperasi bermula awal Ogos lalu.

Beliau juga berkata, setiap tahun Yik terpaksa menanggung sebanyak RM135 juta bagi mengurus 92 sekolah yang melibatkan 37,910 pelajar dan 2,619 guru.

Kerajaan negeri katanya lagi, memberi tanah kepada Yik untuk membangunkan sektor perladangan, walaupun hasil yang dijangka tidak tercapai sepenuhnya.

“Ini merupakan bajet 100 peratus dari kerajaan negeri, sebulan gaji kepada guru-guru sahaja RM9.5 juta, tidak termasuk perbelanjaan pembangunan kira-kira RM4 juta ” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/9/2020

- Advertisement -