Sibu lokasi bersejarah pembentukan Malaysia

- Advertisement -

SIBU: Sebuah rumah agam di bandar ini menjadi bukti kepada keputusan bersejarah yang dibuat untuk Sarawak memperoleh kemerdekaan melalui Malaysia pada 1963.

Rumah itu merupakan kediaman Tan Sri Ling Beng Siew, Presiden Persatuan Cina Sarawak (SCA) pada masa itu, yang menjadi lokasi mesyuarat penting dihadiri beberapa pemimpin politik untuk menentukan sama ada Sarawak harus kekal sebagai jajahan British atau membantu membentuk Malaysia sebagai sebuah negara bebas dan berdaulat.

Bangunan yang teguh berdiri sehingga hari ini itu dinamakan sebagai Rumah Malaysia pada 29 Ogos 1983.

- Advertisement -

Pemimpin yang berkumpul dalam mesyuarat hampir enam dekad yang lalu itu mewakili SCA, Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Parti Negara Sarawak (Panas), Barisan Rakyat Jati Sarawak (Barjasa) dan Parti Pesaka Anak Sarawak (Pesaka).

Pada masa pembentukan Malaysia yang merangkumi Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah, Sibu telah berkembang pesat sebagai bandar yang kaya dengan sumber kayu balak. Industri kayu balak membangun pada tahun 1940-an dan 50-an.
 
Pengeluaran dan eksport kayu balak di Sibu mula menunjukkan trend penurunan pada 1997 tetapi bandar ini masih menghasilkan produk kayu, walaupun tidak banyak seperti sebelumnya.

Pengerusi Eksekutif Delta Leasing Sdn Bhd Dr Gregory Hii Sui Cheng berkata Sibu pada masa dulu mempunyai bank dan institusi kewangan tempatan seperti Wah Tat Bank, Hock Hua Bank dan Kong Ming Bank serta Chew Geok Ling Finance dan Delta Finance.

“Tetapi, setelah krisis kewangan Asia pada 1997, kerajaan menggabungkan mereka dengan entiti utama yang ditetapkan untuk menghapuskan kelemahan struktur dalam sektor perbankan,” katanya.

Sibu turut dikenali dengan pembinaan kapal. Perniagaan ini yang bermula pada 1930-an dengan pembekalan bot-bot kayu untuk navigasi sungai dan pantai, berkembang pada 1970-an dan 80-an seiring dengan peningkatan eksport kayu tropika dari Sarawak. Ia kemudian terus memainkan peranan penting dalam ekonomi.
 
Terdapat 40 limbungan kapal di Sibu, kebanyakannya terletak di Kawasan Perindustrian Perkapalan Rantau Panjang yang menghasilkan kapal tunda untuk menarik bayu balak, tongkang untuk mengangkut kayu balak, pengendali sauh, kapal sokongan pesisir (OSV), feri dan bot ekspres bagi membawa penumpang.

Kapal yang dibina di Sibu sering dieksport ke Sabah, Semenanjung Malaysia dan negara luar seperti Singapura, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu.

Industri pembinaan kapal menjana eksport bernilai RM279 juta untuk Sarawak pada 2018.

Hii dan Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) cawangan Sibu Chambai Lindong bersetuju bahawa Sibu perlu mempunyai aktiviti ekonomi baharu untuk menjadikannya sebagai penyumbang utama ekonomi Malaysia, sekali lagi.

Dengan keluasan 8,278 kilometer persegi dan penduduk seramai 293,514 orang, Sibu mempunyai banyak potensi ekonomi yang belum dimanfaatkan lagi. Kawasan pendalamannya yang luas dilihat sesuai untuk pertanian moden bagi pengeluaran makanan yang boleh dieksport.
 
Hii berkata aktiviti ekonomi di Sibu kini tidak terhad kepada masyarakat Cina tetapi turut melibatkan kaum Bumiputera.

“Kita boleh lihat sekarang lebih ramai masyarakat Dayak dan Melayu atau Melanau melibatkan diri dalam perniagaan, khususnya dalam pembukaan kedai kopi yang dahulu perniagaan ini didominasi oleh kaum Cina.

“Ini adalah sesuatu yang sangat baik, gambaran bagaimana penduduk Sibu memainkan peranan mereka dalam meningkatkan bukan sahaja pendapatan mereka tetapi juga ekonomi negara,” katanya.

Berdasarkan pencapaian membanggakan rakyat Sibu dalam pelbagai aspek, mereka gembira apabila bandar ini dipilih menjadi tuan rumah untuk sambutan Hari Malaysia peringkat Kebangsaan tahun ini pada 16 September.

Mereka menanti dengan tangan terbuka bagi menyambut ramai pemimpin kerajaan negeri dan pusat yang dijangka berada di Sibu untuk sambutan itu.
 
“Kami sudah lama tidak ada acara besar seperti ini,” kata Chambai yang mengalu-alukan kedatangan pengunjung ke Sibu dan memujuk mereka untuk tinggal ‘lebih lama’ bagi melihat Sibu dan mengenali penduduknya.

“Diharapkan, Hari Malaysia ini akan menjadi titik tolak kepada Sibu untuk meningkatkan ekonomi dan memainkan peranan lebih besar ke arah pembangunan Sarawak dan Malaysia secara keseluruhan.

“Apa yang diperlukan ialah para pemimpin datang dan lihat sendiri bidang yang boleh diberikan bantuan kepada bandar ini… ia juga untuk kemajuan negara,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -