Patuhi syarat Bahasa Kebangsaan di papan iklan

- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) bersama mendukung tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap papan tanda iklan syarikat atau organisasi yang tidak menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dipaparkan di sekitar bandaraya tersebut.

Kelulusan setiap papan tanda iklan mestilah melalui pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Peringkat DBP meletakkan syarat kelulusan mestilah Bahasa Melayu sebagai bahasa ungkapan utama dan diiringi bahasa lain. 

Apabila ada pihak menggunakan Bahasa Mandarin sebagai bahasa utama di papan iklan ia menunjukkan berlaku ketidakpatuhan kepada kelulusan bila mana bahasa iringan menjadi bahasa ungkapan utama. 

- Advertisement -

Tidak mencukupi untuk pihak berkaitan di kawasan pentadbiran DBKL bertindak menurunkan Iklan Paparan Luar yang tidak mematuhi Akta Kerajaan Tempatan 1976; Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974; Undang-undang Kecil Iklan (WPKL) 1982 dan Undang-undang Kecil Kerajaan Tempatan (Iklan Pilihan Raya) (WPKL) 1990.

PAS sebaliknya mendesak tindakan penguatkuasaan atau penalti yang termaktub di bawah Akta atau Undang-undang Kecil ini dikenakan sepenuhnya ke atas mana-mana pihak yang gagal mematuhinya, khususnya bila ia tidak menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai ungkapan utama sebaliknya menjadikan bahasa iringan sebagai ungkapan utama.

Jangan sampai generasi akan datang mengambil ringan terhadap situasi ini. Rakyat Malaysia mesti memartabatkan penggunaan Bahasa Kebangsaan tanpa mengira kaum.

“Islam Memimpin Perpaduan”

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
7 September 2020 | 19 Muharram 1442 – HARAKAHDAILY 7/9/2020

- Advertisement -