PAS Wilayah Persekutuan sedia hadapi PRU15

- Advertisement -

BATU: Semboyan siap siaga ke arah PRU15 telah dibunyikan dengan penganjuran Konvensyen PAS Wilayah Persekutuan yang dilangsungkan di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM) semalam.

- Advertisement -

Program yang menghimpunkan penggerak di setiap kawasan termasuk Labuan secara penyertaan atas talian ini telah dihadiri Pengarah Strategik PAS, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Timbalan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki.

Mereka diiringi Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya serta Pengarah Jabatan Pilihan Raya Wilayah Persekutuan, Izamuddin Ludin.

Dato’ Dr Khairuddin dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa PRU15 ini penting bagi mengukuhkan kestabilan politik dan ekonomi negara.

“Seluruh jentera pilihan raya PAS diingatkan untuk sentiasa bersiap siaga baik di lapangan konvensional mahupun lapangan media sosial bagi menghadapi PRU-15 ini,” seru beliau yang juga merupakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Dr Mohd Zuhdi juga turut mengingatkan agar setiap ahli PAS terus melakukan infaq ke jalan Allah S.W.T yang diamalkan selama ini.

“Sama ada PAS menjadi sebahagian kerajaan mahupun tidak, amalan berinfaq yang sudah sebati dengan setiap ahli PAS wajar diteruskan kerana infaq tersebut hakikatnya untuk kebaikan diri sendiri di akhirat kelak,” ujarnya lagi.

Ustaz Azhar pula dalam ucapannya juga mengingatkan bahawa keadaan semasa politik sentiasa berubah dan menuntut penyusunan strategi yang bijak dan tangkas oleh pimpinan di atas.

“Maka kita selaku ahli di bawah yang mungkin ada sudut pandang yang tidak terlihat, yakin dan akurlah dengan setiap arahan pimpinan yang bakal dikeluarkan dari semasa ke semasa,” tegasnya.

Jentera Pilihan Raya PAS WP turut dilancarkan dalam konvesyen kali ini dengan penyerahan panji kepada setiap wakil kawasan yang disempurnakan oleh Dato’ Dr Khairuddin.

Sementara itu, PAS Labuan yang hadir secara atas talian diketuai Yang DiPertua, Hamir Zahari bersama Timbalan Yang DiPertua, Ustaz Ahmad Junid Mohd Aling dan Naib Yang Dipertua, Abdul Rahim Mohd Salleh.

Menurut Hamir, program yang menjadi langkah awal memperkukuh persediaan jentera pilihan raya WP ini ke arah memastikan kemenangan Muafakat Nasional pada PRU yang akan datang.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada pihak BPPWP atas kejayaan melaksanakan program ini dengan jayanya. Ia sedikit sebanyak memberikan motivasi dan persediaan awal PAS kawasan Labuan dalam mendepani PRU yang akan datang,” ujar beliau.

Beliau berharap agar jentera pilihan raya terus diperkasakan persediaan dari sudut fizikal, mental dan terutamanya kerohanian diberi keutamaan dengan menegaskan agar semua ahli PAS tidak melupakan kebergantungan utama adalah pada Allah S.W.T.

Sempena program ini, Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Labuan, Zul Afham Zulkifli telah menyerahkan 44 sijil keahlian baharu PAS Labuan bagi bulan Julai dan Ogos mewakili Jabatan Setiausaha (JSU) kepada Hamir. – HARAKAHDAILY 7/9/2020

- Advertisement -