MKB platform kukuhkan ekonomi Bumiputera

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan menubuhkan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) sebagai platform tertinggi bagi memperbaharui serta memperkukuh pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, MKB akan bertindak sebagai platform tertinggi dalam usaha memperkasa pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera.

- Advertisement -

“Penubuhan majlis ini adalah sebahagian daripada kerangka intervensi strategik untuk memandu dan mempercepat pemerkasaan ekonomi Bumiputera melalui usaha-usaha peningkatan kapasiti dan keupayaan merentas pelbagai program.

“Bagi memastikan majlis ini mencapai objektif penubuhannya, ia akan didukung oleh dua jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Pemandu yang akan dipengerusikan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) dan Jawatankuasa Kerja yang akan dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

“Kedua-dua jawatankuasa ini akan bersidang secara berkala serta melibatkan semua agensi pelaksana berkaitan,” ujarnya.

Tambah beliau, Jawatankuasa Pemandu julung kalinya telah bersidang pada 11 ogos lepas.

Sementara itu katanya, Teraju telah diberikan mandat sebagai agensi penyelaras utama bagi intervensi strategik inisiatif dan program pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera serta pembangunan pengkalan data Bumiputera yang merentasi kesemua kementerian agensi dan GLC.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan akan memperkemas dan menambah baik pangakalan data berpusat Bumiputera bagi mengumpul maklumat yang terkini, lengkap dan berkualiti bagi perancangan dasar intervensi strategik yang akan dipacu oleh MKB.

Menurutnya, pencapaian kementerian, agensi kerajaan dan GLC dalam menggerakkan agenda pemerkasaan Bumiputera akan dipantau dan dinilai melalui satu rangka kerja Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang bakal melibatkan semua ketua agensi berkaitan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Dato’ Razali Idris di Dewan Negara mengenai keberkesanan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) di Dewan Negara, hari ini. – HARAKAHDAILY 7/9/2020

- Advertisement -