Krisis air Selangor: Desakan DAP tidak relevan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mendesak Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man meletak jawatan susulan krisis air di Selangor adalah tidak relevan.

Menurut Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad, desakan tersebut adalah tidak relevan memandangkan penguatkuasaan terhadap kilang-kilang haram yang beroperasi di Selangor adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri itu.

- Advertisement -

Justeru itu katanya, individu sebenar yang perlu menggalas tanggungjawab penuh dalam krisis air di Selangor baru-baru ini adalah Menteri Besar Selangor, Dato’ Sri Amirudin Shari dan kerajaan Negeri Selangor.

“Sepatutnya Menteri Besar dan kerajaan Negeri Selangor perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap masalah ini, bukannya dengan melepaskan atau meletakkan kesalahan di bahu Menteri Alam Sekitar dan Air, sedangkan penguatkuasaan itu terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Mereka perlu memastikan semua operasi kilang-kilang itu perlu mendapat kebenaran daripada kerajaan negeri, maka sepatutnya mereka ini mengambil tindakan tegas mengawal kilang-kilang haram ini daripada beroperasi,” jelasnya.

Tambah Kamaruzaman, kerajaan Negeri Selangor sepatutnya mengambil tindakan tegas serta membuat pemantauan yang rapi dan ketat dalam memastikan kilang-kilang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ia bagi memastikan tragedi sama tidak berulang dan pencemaran sungai akibat sisa industri dapat dibendung bagi mengelakkan kejadian tersebut yang tentunya menyusahkan orang ramai.

“Pihak kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) sepatutnya mengambil tindakan tegas kerana perkara sama pernah berlaku sebelum ini. Mereka perlu mengawal kilang-kilang terutama sekali kilang-kilang haram daripada beroperasi.

“Sekiranya tidak dipantau baik, perkara sama akan berulang dan kemudian mengakibatkan pencemaran yang kesannya ditanggung oleh hampir seluruh rakyat Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Susulan krisis air di Selangor akibat daripada pencemaran Sungai Gong, empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa ditutup disebabkan pencemaran bau.

Ia didakwa berpunca daripada sebuah kilang yang dipercayai melepaskan bahan pelarut ke dalam Sungai Gong yang mengalir ke Sungai Sembah iaitu antara sungai utama bagi Sungai Selangor.

Charles dalam satu kenyataan pada Sabtu memberikan tempoh selama sebulan kepada Tuan Ibrahim untuk meletak jawatan sekiranya kerajaan gagal untuk mengambil tindakan terhadap syarikat yang menyebabkan pencemaran sungai di Selangor. – HARAKAHDAILY 7/9/2020

- Advertisement -