Isu sekolah vernakular serlah kebodohan Lim Guan Eng

DI DALAM kenyataan media beliau semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, menyatakan:

Advertisement

(1) Kewujudan sekolah vernakular adalah dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan (kata beliau, “Under such guarantees in the Federal Constitution, vernacular primary schools have existed”).

(2) Tidak pernah ada mana-mana ahli pentadbiran dalam mana kerajaan di Malaysia yang mendesak supaya sekolah vernakular ditutup (kata beliau, “Never in history, has any member of an administration called for the closure of vernacular schools”).

(3) Terdapat seorang Ahli Parlimen yang didakwa dan dihukum di atas kesalahan menghasut pada 1982 kerana menggesa di Parlimen supaya sekolah vernakular ditutup (kata beliau, “There was even an MP who was charged and convicted of sedition in 1982 for speaking in Parliament calling for the closure of vernacular schools”).

(4) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tidak rasional, ekstrem serta cuba memperlekeh dan menyelewengkan Perlembagaan Persekutuan dengan menggesa supaya sekolah vernakular ditutup (kata beliau, “Deputy Youth and Sports Minister seeked to undermine and pervert the Federal Constitution… To close vernacular schools is irrational and extreme in nature”).

(5) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal perlu menarik balik desakannya dan memohon maaf kerana mendesak supaya sekolah vernakular ditutup adalah satu serangan terhadap Perlembagaan Persekutuan (kata beliau, “The Deputy Minister should withdraw and apologise as calling for the closing down of vernacular schools is an attack against the Federal Constitution”).

Kenyataan media ini menyerlahkan kebodohan Lim Guan Eng kerana:

(1) Kewujudan sekolah vernakular sebenarnya adalah tidak dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Seorang mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, juga pernah menyebut bahawa keputusan membenarkan kewujudan sekolah-sekolah Cina dan Tamil adalah keputusan politik dan tiada apa-apa di dalam Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkannya. Seorang pakar Perlembagaan terkenal negara, Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, pernah menyebut bahawa “Sekolah-sekolah Cina dan Tamil sebenarnya adalah tidak dilindungi oleh Perlembagaan, tetapi banyak parti politik, demi mencari populariti, menyebut ia dilindungi oleh Perlembagaan”. Seorang mantan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah, juga pernah menyebut bahawa “Sekolah-sekolah Cina dan Tamil perlu dihapuskan kerana ia memecahbelahkan masyarakat dan tidak diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan”.

(2) Desakan supaya sekolah vernakular ditutup sebenarnya telah pernah disuarakan oleh beberapa ahli pentadbiran dalam kerajaan-kerajaan di Malaysia sebelum ini. Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, pernah menyebut bahawa “Sekolah-sekolah Cina dan Tamil perlu dihapuskan dan semua kanak kanak dikehendaki mengikut satu sistem persekolahan untuk mencapai kesamarataan dan perpaduan”. Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah menyebut bahawa beliau “berharap untuk melihat wujudnya satu sistem sekolah sahaja”. Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah menyebut bahawa “Sekolah-sekolah Cina dan Tamil adalah penghalang kepada perpaduan nasional”.

(3) Ahli Parlimen yang dihukum di atas kesalahan menghasut kerana ucapan yang beliau buat di Parlimen pada 11 Oktober 1982 bukanlah kerana beliau menggesa supaya sekolah vernakular ditutup seperti yang didakwa oleh Lim Guan Eng tetapi adalah kerana beliau mempersoalkan kewujudan dan menganjurkan rombakan ke atas Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Mahkamah Persekutuan jelas memutuskan di dalam kes ini bahawa “Mark Koding adalah tidak bersalah kerana menghasut apabila beliau menganjurkan penutupan sekolah-sekolah Cina dan Tamil” tetapi beliau bersalah kerana menyebut “sekiranya tindakan-tindakan ini (menutup sekolah-sekolah vernakular tersebut dan menyekat sama sekali penulisan papan-papan tanda dalam bahasa-bahasa selain bahasa kebangsaan itu) kelak bertentangan dengan Artikel 152 Perlembagaan maka kita harus merombak Perlembagaan tersebut demi kepentingan rakyat dan negara”.

(4) Gesaan supaya sekolah vernakular ditutup bukanlah satu gesaan yang tidak rasional, ekstrem serta cuba memperlekeh dan menyelewengkan Perlembagaan Persekutuan. Gesaan begini telah pernah dikemukakan oleh begitu ramai pakar pendidikan negara, termasuk paling mutakhir oleh Prof Emeritus Dr Isahak Haron, Prof Dr Mohd. Sahandri Gani Hamzah dan Dato’ Abdul Raof Husin di dalam Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN: Pencapaian, Harapan Dan Cabaran pada 1 September 2020 dalam mana mereka menyebut “Kerajaan hendaklah berani mengambil langkah strategik, beransur-ansur, untuk memperkukuhkan Satu Sistem Pendidikan Negara dengan melaksanakan Sistem Pendidikan Satu Aliran menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dalam pembentukan negara bangsa Malaysia yang bersatu dan stabil dalam jangka panjang” di mana “Ini adalah selaras dengan Perlembagaan Malaysia (Artikel 152 di mana Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu), Laporan Razak 1956, Ordinan Pelajaran 1957, Laporan Rahman Talib (1960), Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996, bagi membina identiti negara bangsa dan menyatupadukan rakyat Malaysia berbilang bangsa, etnik, budaya dan latar belakang.” Apabila Lim Guan Eng menyebut gesaan supaya sekolah vernakular ditutup adalah satu gesaan yang tidak rasional, ekstrem serta cuba memperlekeh dan menyelewengkan Perlembagaan Persekutuan, apakah beliau mahu menyatakan pihak-pihak seperti Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, yang telah berulangkali menggesa supaya sekolah-sekolah Cina dan Tamil perlu dihapuskan dan digantikan dengan sekolah satu aliran, atau Kerajaan Singapura idola beliau yang telah lama menghapuskan sekolah vernakular juga adalah tidak rasional, ekstrem serta cuba memperlekeh dan menyelewengkan Perlembagaan Persekutuan?

(5) Berdasarkan kepada semua hujah yang telah dikemukakan, langsung tiada keperluan untuk Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menarik balik desakannya dan memohon maaf kerana desakan supaya sekolah vernakular ditutup bukanlah satu serangan terhadap Perlembagaan Persekutuan tetapi adalah satu usaha untuk menegakkan Perlembagaan Persekutuan. Sebaliknya, Lim Guan Eng lah yang perlu menarik balik desakannya dan memohon maaf kerana membuat pelbagai dakwaan membabi-buta yang bertentangan dengan fakta-fakta sejarah dan fakta-fakta perundangan negara.

Usahlah bercakap berdegar-degar mengenai usaha untuk menegakkan Perlembagaan Persekutuan kalau kenyataan media pun hanya dibuat dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin sahaja.

RUJUKAN:

  1. Tulisan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 17 November 2014 bertajuk “Malaysian Education” yang boleh dibaca di sini: http://chedet.cc/?p=1526
  2. Kenyataan Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi pada 5 Mei 2013 bertajuk GE13: “No need for two-thirds to govern” yang boleh dibaca di sini: https://www.thestar.com.my/story/?file=/2013/5/5/nation/13069018 atau di sini: https://jebatmustdie.wordpress.com/2013/05/06/no-need-for-two-thirds-to-govern/ dan Kenyataan Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi pada 18 September 2015 bertajuk ‘Constitution does not protect vernacular schools’ yang boleh dibaca di sini: https://www.theedgemarkets.com/article/%E2%80%98constitution-does-not-protect-vernacular-schools%E2%80%99
  3. Kenyataan Datuk Mohd Noor Abdullah pada 9 Oktober 2014 bertajuk “Tiada peruntukan SJK dalam Perlembagaan” yang boleh dibaca di sini: https://www.malaysiakini.com/news/277038
  4. Kenyataan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir pada 1 Disember 2008 bertajuk “Scrap vernacular schools, one system for all” yang boleh dibaca di sini: https://www.thestar.com.my/news/nation/2008/12/01/mukhriz-scrap-vernacular-schools-one-system-for-all. Kenyataan ini telah disokong oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 14 Disember 2008 di mana sokongan ini boleh dibaca di sini: https://www.thestar.com.my/news/nation/2008/12/14/mahathir-format-of-schools-makes-unity-difficult
  5. Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 28 Jun 2018 bertajuk “Without vernacular schools, people will be more united” yang boleh dibaca di sini: https://twentytwo13.my/issues/dr-m-without-vernacular-schools-people-will-be-more-united/
  6. Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 25 Oktober 2018 bertajuk “Vernacular schools a stumbling block to unity” yang boleh dibaca di sini: https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/10/28/multistream-education-to-nations-advantage
  7. Tulisan Dr Kamarul Zaman Haji Yusoff pada 30 November 2014 bertajuk “Presiden Umno mengelirukan para perwakilan dalam isu penutupan Sekolah Cina dan India?” yang boleh dibaca di sini: https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=875656829145043&id=100001022016761
  8. Tulisan Prof Emeritus Dr Isahak Haron, Prof Dr Mohd. Sahandri Gani Hamzah dan Dato’ Abdul Raof Husin di dalam Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN: Pencapaian, Harapan Dan Cabaran pada 1 September 2020 yang boleh dibaca dengan menghubungi Pengarah Konvensyen.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 7/9/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.