Dr MAZA dan Syiah

AGAK heboh juga di medsos baru-baru ini, apabila Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainal Abidin (MAZA) menyiarkan gambar-gambar beliau bersama seorang lagi pendakwah yang sealiran pemikiran dengan beliau, Dr Kamilin Jamilin, bersama dengan Duta Negara Iran di ‘page’ rasmi beliau.

Umum mengetahui bahawa ideologi antara Syiah dengan pemikiran Dr Maza diibaratkan sebagai dua kutub pada satu batang magnet. Tidak pernah bertemu. Ia bertentangan dan logik akalnya tidak akan bertemu selama-lamanya. Baca dan dengarlah kritikan dan hentaman beliau terhadap golongan Syiah. Tetapi, menariknya, beliau bukan sahaja hadir ke kedutaan Iran sebagai tetamu, dijamu makan, berbincang malah bergambar dengan latar belakang gambar pimpinan Syiah.

Gegak gempitalah penyokong beliau. Tetapi seperti biasa, apabila terkena kepada kumpulan sendiri, tabayyun, nasihat didahulukan. Dan apabila terjadi kepada kumpulan lain, ‘tibai-yun’ adalah seafdhal-afdhal perbuatan, tanpa memeriksa dahulu. Kepada lawan, jika ahli bersangka baik dengan pimpinan sendiri, ia dianggap taqlid buta atau wala’ membabi buta. Tapi bila bersangka baik dengan pimpinan mereka, itulah sunnah.

Advertisement

Tetapi tujuan tulisan ini, bukanlah mahu menarik pemikiran anda semua ke arah perbalahan mazhab yang panjang dan popular itu. Cubitan nakal ini hanya bagi menyedarkan diri kepada sesiapa yang masih tidak sedar bahawa penilaian masing-masing adalah digerakkan oleh nafsu dan kebencian, sentimen, kepuakan dan merasa hanya dirinya sahaja yang betul, dan bukan kerana ilmu yang benar. Amat jarang ia terjadi kerana ilmu, apatah lagi dari pengikut yang jahil.

Tindakan Dr Maza ini sebenarnya amatlah terpuji. Ia menganjak paradigma kita untuk melihat isu ini dari sudut yang lain. Mazhab Syiah bukan semuanya ditolak oleh majoriti ulamak dunia, sebagaimana yang telah dideklarasikan di Amman, Jordan pada tahun 2005 dahulu, Zaidiyyah dan Imamiah diterima. Termasuklah juga Khawarij I’badi yang menurut Datuk Dr Zulkifli Mohamad ketika menjawat jawatan Mufti Wilayah, diharuskan solat di belakang imam Ibadiyyah.

Saya telah menulis lama dahulu berkenaan kisah jemputan Presiden Iran ketika itu Ali Rafsanjani oleh Kerajaan Arab Saudi ke negara mereka. Kisah popular berkenaan ketika Rafsanjani dibawa masuk ke makam Rasulullah, seusai berdoa dan berselawat, beliau mengambil peluang mencerca kedua Sahabat yang diredhai Allah Abu Bakar dan Umar. 

Bangun dalam khutbah selepas itu Syeikh Ali al-Huzaifi, membalas semula kutukan terhadap Presiden Iran. Soalnya mengapa Saudi menjemput Presiden Iran menjadi tetamu negara mereka jika benar mereka kafir? Saya kemudiannya ditegur oleh beberapa orang yang mengakui sebagai anak murid Syeikh Ali al-Huzaifi dengan mendakwa bukan beliau dikenakan tahanan rumah, tetapi disembunyikan kerana ada ugutan bunuh. Marah benar mereka.

Saya dengan senang hati menarik balik perkataan dikenakan tahanan rumah itu dan menggantikannya dengan disembunyikan. Tiada apa yang berubah kerana mereka tiada bantahan pun kepada kenyataan bahawa Saudi menjemput Presiden Iran yang Syiah dan dikatakan kafir itu. Malah tiada didengar juga tindakan Saudi terhadap Rafsanjani yang jelas menghina Sahabat yang dikasihi Rasulullah itu.

Sama seperti Perjanjian Hudaibiyyah. Tangan-tangan yang menandatangani perjanjian itu dari Musyrikin Makkah adalah tangan-tangan yang membunuh Sahabat dan kaum kerabat umat Islam. Tetapi mengapa Rasulullah tetap meneruskan perjanjian, malah dengan diberati perjanjian itu kepada Musyrikin. Bukan itu sahaja, Suhail bin Amr juga cuba memperlekehkan Rasulullah ketika itu.

Adakah kita mahu mengatakan bahawa Syiah lebih jahat daripada Musyrikin Makkah? Bermakna itu adalah satu penghinaan kepada Rasulullah kerana para Nabi dan Rasul lah yang akan menghadapi musuh yang paling jahat, bukan kita. Adakah Syiah di zaman Rasulullah? Dan juga persoalan lain, kenapa Umar bin Abdul Aziz berjumpa dengan golongan Syiah bagi perdamaian dan Syiah menerimanya?

Jelas apa yang dilakukan oleh Dr MAZA, telah lama dilaksanakan tanpa jemu oleh Presiden PAS. Taqrib Mazhab yang suatu ketika dahulu dikutuk dan dicerca oleh golongan pembenci, kini terpaksa ditelan kembali ludah itu oleh mereka. Ada ruang yang sangat nyata dalam menautkan kembali persefahaman. Jika tidak semua, maka sebahagiannya, insya-Allah.

Tindakan Dr MAZA ini hanyalah seperti membenarkan dengan sejelas-jelasnya bahawa tiada yang mustahil untuk dilakukan demi keamanan Dunia Islam oleh Presiden PAS. Sudah pastinyalah tindakan ini mesti berjalan pada aras tertinggi dan bukannya pada akar umbi yang sangat kabur sebagaimana kejayaan beliau menyatukan PAS dan Umno di Malaysia.

Presiden PAS adalah tokoh terlayak untuk ini. Sedarkah anda bahawa, walaupun beliau telah tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (KUIS), tetapi selepas Ketua KUIS, Ahmed Raysuni dan Setiausaha Agungnya Ali Muhyiddin al-Kadaghari memberikan ucapan, beliau adalah orang ketiga memberikan ucapan dalam Muktamar Khas KUIS berkenaan hubungan UAE dengan Israel baru-baru ini. Apa lagi bukti yang mahu diberikan untuk mengatakan bahawa beliau seorang yang dihormati Dunia Islam? Tidak luak pun beliau dihina di sini.

Dr MAZA juga secara tidak langsung mengakui tindakan Presiden PAS adalah benar. Dr MAZA pastinya tidak bersuka-suka ke sana hanya kerana mahu menjamah hidangan Syiah. Tetapi hadirnya beliau kerana mahu merapatkan hubungan. Sebab itu kata beliau lagi, ada perbincangan beliau bersetuju dan ada hal yang beliau tidak bersetuju. Setuju untuk tidak bersetuju. Mungkinkah Dr MAZA telah mematahkan magnet itu, lalu hujung dan hujungnya kita boleh bertangkup kerana berlainan kutub?

Bagi kita yang meyakini tiada mustahil bagi Allah, teruskan berdoa agar kesatuan umat dapat ditegakkan. Hanya dengan cara bersatu di bawah panji Islam, kita akan dapat mengalahkan musuh Allah yang nyata diberitahu Allah dan Rasul dalam al-Quran iaitu Yahudi dan Nasrani. Ada tak kita dengar suara pengkritik apabila UAE sahabat baik Saudi mengadakan hubungan diplomatik dengan musuh Allah? Mungkin taqrib agama Islam dan Yahudi lebih aula bagi sesetengah orang? Entahlah.

MOHD NASIR ABDULLAH
7 September 2020 – HARAKAHDAILY 7/9/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.