DHPP Muar dilancarkan penuh semangat

- Advertisement -

MUAR:  Majlis pelancaran penubuhan Dewan Himpunan Pendokong PAS (DHPP) Kawasan Muar telah berjaya diadakan di Pejabat PAS Kawasan Muar, Parit Bakar di sini semalam.

- Advertisement -

Seramai 25 orang telah mengisi borang menjadi ahli baru DHPP Muar di mana pelancaran perasmian telah disempurnakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Turut hadir meraikan pelancaran ialah Ketua Penerangan PAS Johor Rusman Kemin, Yang DiPertua dan Naib Yang DiPertua PAS Muar, Abd Aziz Talib dan Dr Mohammad Taslim serta Ketua Pemuda dan Ketua Muslimat, Ustaz Ridzuan Nazri dan Norhayati Sulaiman.

Manakala wakil dari DHPP diketuai oleh Naib Ketua DHPP Johor, Purushorhaman Selladorai dan Setiausaha DHPP Johor, Selvendran Velu serta Ketua DHPP Kawasan Muar, Jaya Kumar Saravi Muthu.

Dalam ucapan perasmiannya, Khairul Faizi mengharapkan dengan pelancaran DHPP Muar ini, dapat mengukuhkan lagi hubungan antara ahli-ahli PAS dengan masyarakat bukan-Islam.

Di mana harapnya, sama-sama akan melaksanakan gerak kerja membantu parti bukan sahaja dalam politik dan kebajikan semata malah mewujudkan ukhuwah persahabatan serta membina semangat kekeluargaan agar mengeratkan persefahaman sesama ahli.

“Pelancaran DHPP peringkat kawasan Muar ini adalah siri pelancaran yang ke-7 dalam misi penubuhan DHPP di setiap kawasan di negeri Johor.

“Sebanyak 14 kawasan DHPP telah berjaya diwujudkan. Kemuncak pelancaran penutup secara besar-besaran akan diadakan di Kluang tidak lama lagi,” ujar Khairul Faizi lagi.

Selvendran pula meletakkan harapan agar pelancaran ini akan membuka pintu kerjasama antara PAS Muar dan DHPP Muar cdalam program-program mendekati masyarakat khususnya yang bukan-Muslim.

“Kepercayaan yang diberikan oleh DHPP terhadap PAS amat tinggi kerana yakin PAS yang ditunjangi ulama dan berpegang teguh dengan Al-Quran dan Sunnah mampu memberi keadilan kepada semua bangsa termasuk bukan-Muslim,” ujarnya.

Majlis diakhiri dengan gimik pelancaran DHPP, penyerahan borang ahli baru, pemberian cenderahati dan bacaan ikrar oleh Jaya Kumar bersama-sama ahli DHPP yang hadir. – HARAKAHDAILY 7/9/2020

- Advertisement -