Saman terhadap EU: Rakyat perlu peka

DUA bulan yang lalu, Menteri di Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah mengeluarkan kenyataan bahawa KPPK telah membuat satu ketetapan dan telahpun mengumumkan bahawa kerajaan akan memfailkan tindakan undang-undang terhadap Kesatuan Eropah (EU) melalui Mekanisme Penyelasaian Pertikaian (DSM) di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Advertisement

Dato’ Dr Khairuddin Aman Razali menjelaskan bahawa tindakan undang-undang ini dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara (AGC) perlu dilaksanakan berdasarkan kepada asas dan justifikasi serta selaras dengan prinsip amalan perdagangan yang telah digariskan oleh WTO.

Tindakan memfailkan tindakan undang-undang ini adalah merupakan langkah akhir yang terpaksa diambil setelah pelbagai langkah telah diusahakan oleh Kerajaan Malaysia bagi membendung tindakan negatif EU yang sebenarnya memburukkan sawit Malaysia di mata dunia.

Menurut beliau, polisi yang dilaksanakan EU dalam Delegation Regulation di bawah European Union Renewable Energy Directive II (EU RED II) ini telah mewujudkan sekatan yang tidak sewajarnya ke atas usaha kemampanan dan kelestarian yang telah dan sedang dilaksanakan Malaysia. Malah ia juga menyekat amalan perdagangan bebas yang akhirnya menyebabkan lebih 3 juta rakyat Malaysia yang terlibat dalam rantaian industri sawit negara menerima impak yang negatif termasuk lebih setengah juta pekebun kecil sawit.

Untuk rekod, pada tahun 2017 Parlimen Eropah meluluskan resolusi untuk mengurangkan sebelum mengharamkan semua biofuel yang dihasilkan menggunakan asas sawit yang mana ianya menjejaskan pengeluar utama iaitu Malaysia dan Indonesia. Alasan Eropah, mereka mengambil tindakan itu kerana kononnya penanaman sawit adalah tidak lestari dan memusnahkan hutan.

Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menegaskan bahawa sekatan yang dilakukan oleh EU akan mencetuskan perang perdagangan bersama negara-negara pengeluar. Tun Dr Mahathir menganggap bahawa alasan kelestarian hutan hanyalah satu usaha untuk membolehkan EU menggunakannya sebagai alasan untuk menyalahkan negara Asia Pasifik walaupun rantau itu sendiri menggunakan pengeluaran dagang yang banyak membabitkan penebangan hutan.

Adalah tidak benar Malaysia tidak berusaha untuk menjelaskan kepada dunia situasi sebenar terhadap isu yang sengaja ditujukan kepada negara ini. Ia telah diperakui sendiri oleh Duta Perancis ke Malaysia, Frederic Laplanche yang melihat bahawa Kerajaan Malaysia bertindak positif terhadap isu alam sekitar dan sedang berusaha untuk mendapatkan kembali kepercayaan pengguna Eropah terhadap sawit. Beliau mengakui bahawa imej minyak sawit terjejas dengan isu penebangan dan kemusnahan hutan sejak sekian lama tetapi keadaan telah berubah dari masa ke masa dengan kempen demi kempen yang diadakan.

Peguam dari Fratini Vergano, Paolo R Vergano yang berpangkalan di Eropah menggesa industri minyak sawit untuk mempertimbang membawa dakwaan ‘bebas minyak sawit’ atau ‘tiada minyak sawit’ dalam produk makanan ke mahkamah atau pihak berkuasa pentadbiran terpilih negara anggota EU yang tidak sah di bawah undang-undang EU di bawah pelbagai sudut tafsiran serta instrumen perundangan.

Dalam pembentangan bertajuk ‘Pasaran EU bagi Minyak Sawit – ‘Cabaran dan Peluang’ di Seminar Internet Minyak Sawit (Pointers) anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Bursa Malaysia pada bulan Jun yang lalu, Paolo R Vergano berkata Suruhanjaya Eropah menyampaikan komunikasi mengenai strategi ‘daripada bahan mentah kepada juadah’ (F2F) untuk sistem makanan yang baik, sihat dan mesra alam sekitar. Beliau menegaskan bahawa di bawah strategi F2F itu, suruhanjaya itu berkata ia akan menyokong penguatkuasaan undang-undang mengenai maklumat yang mengelirukan.

Vergano berkata dakwaan alam sekitar sering dilihat menjadi generalisasi mengelirukan yang tidak berasas kerana bukan semua minyak sawit adalah tidak mampan alam sekitar malah beliau berkata bahawa apa yang berlaku adalah sebaliknya. Menurut beliau, Kawasan hutan di Malaysia berjumlah hampir 53 peratus daripada keluasan tanah. Di EU, walaupun wujud usaha penghutanan semula, kawasan hutan adalah kira-kira 39.5 peratus daripada keluasan tanah pada 2018. Beliau mengakui Malaysia turut melakukan usaha penting untuk memastikan kemampanan industrinya, termasuk pensijilan wajib kepada peladang sawit dan pengeluar minyak sawit di bawah piawaian Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Oleh kerana itu, adalah menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia untuk turut sama dengan usaha kerajaan untuk mengangkat martabat minyak sawit yang menjadi sumber ekonomi negara. Bukan sekadar menjadi pengguna minyak sawit, rakyat Malaysia perlu bersama dalam kempen-kempen yang diusahakan oleh pihak kerajaan.

Agensi kerajaan yang sangat penting ketika ini dalam mempromosi sawit adalah MPOC yang diterajui pengurusannya oleh Dato’ Dr Kalyana Sundram selaku Ketua Pegawai Eksekutif MPOC.

Misi MPOC yang diwujudkan oleh kerajaan berperanan untuk mempromosikan pengembangan pasaran minyak sawit Malaysia dan produknya dengan meningkatkan imej minyak sawit dan mewujudkan penerimaan minyak sawit yang lebih baik melalui kesedaran mengenai pelbagai kelebihan teknologi dan ekonomi (kelebihan tekno-ekonomi) dan kelestarian alam sekitar.

Pada awal tahun lalu, kerajaan telah melancarkan kempen Sayangi Sawitku untuk memerangi kempen anti-sawit yang dilancarkan Kesatuan Eropah terhadap komoditi negara kita yang mana objektif kempen ini ialah menyemai rasa bangga rakyat terhadap industri sawit negara dan meningkatkan kesedaran serta mendidik rakyat mengenai kebaikan dan khasiat minyak sawit.

Kempen bagi memerangi kempen anti kelapa sawit EU diteruskan dengan kempen Sawit Anugerah Tuhan di bawah kepimpinan Dato’ Dr Khairuddin dengan mengambil pendekatan bahawa sawit itu ialah anugerah Tuhan dan bahan makanan terbaik untuk dunia.

Justeru saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk seiring dengan kempen mempromosi kebaikan sawit Malaysia.

Jika bukan kita, siapa lagi, jika bukan sekarang, bila lagi.

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
Ahli Lembaga Pemegang Amanah
Majlis Minyak Sawit Malaysia – HARAKAHDAILY 6/9/2020