Naratif dengki DAP burukkan Menteri PAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Desakan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dari DAP supaya Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man meletak jawatan hanya naratif untuk memburukkan Menteri daripada PAS itu.

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata, desakan itu menggambarkan wajah sebenar pemimpin DAP yang nanti ‘tukang juak’ mereka akan turut memanjangkan isu tersebut.

- Advertisement -

Terdahulu, Charles mendesak Tuan Ibrahim meletakkan jawatan sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air jika dalam tempoh sebulan gagal mengambil tindakan terhadap syarikat yang menyebabkan pencemaran Sungai Selangor.

Ironinya kata Idris, pemimpin DAP itu mungkin lupa bahawa Selangor adalah negeri yang ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) dan Charles sendiri sebelum ini adalah Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Nasional (SPAN).

“Selama 22 bulan mereka memerintah (Kerajaan Pusat), Menteri DAP buat apa? Pemimpin DAP hanya pandai bercakap, tetapi selama 22 bulan memerintah tiada perubahan yang dibuat.

“Isu pencemaran di Sungai Kim Kim, Johor, ada kamu suruh Menteri DAP letak jawatan? Tanah runtuh di Pulau Pinang ada kamu bersuara supaya Ketua Menteri DAP letak jawatan? Isu terowong, tidak suruh letak jawatan ke?” soal Idris.

Dalam pada itu, beliau menggesa Kerajaan Perikatan Nasional meminda akta lebih tegas dan keras terhadap pihak yang cuba merosakkan keharmonian rakyat.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi menggesa Charles mencermin diri terlebih dahulu sebelum menuding kesalahan pihak lain dalam isu pencemaran Sungai Selangor.

“Sikap yang ditunjukkan oleh Charles Santiago hanyalah menzahirkan sifat kedengkian terhadap Menteri Alam Sekitar dan Air atas gerak kerja Menteri yang efisien lebih dari Menteri sebelum ini di zaman kerajaan PH memerintah dan inilah yang diakui oleh rakyat umum,” katanya.

Dalam pada itu, PAS Selangor menzahirkan penghargaan atas tindakan pantas dan bantuan diberikan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air yang sedikit sebanyak melegakan keresahan penduduk terlibat. – HARAKAHDAILY 6/9/2020

- Advertisement -