Agensi digesa tangani najis babi cemar Sg. Kreh

KUALA LUMPUR: PAS Pulau Pinang menggesa pihak berwajib segera mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelesaikan isu permasalahan Sungai Kreh yang dicemari najis babi dari aktiviti penternakan di Tasek Gelugor.

Gesanya, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Pengaliran dan Saliran, Kementerian Kesihatan serta Majlis Bandaraya Seberang Perai mesti bertindak menangani masalah tersebut.

Advertisement

ADUN Penaga, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah berkata, punca utama pencemaran di sungai berkenaan adalah disebabkan oleh sisa kumbahan pembuangan najis babi daripada ladang ternakan babi di Kampung Selamat.

“Daripada soalan yang pernah saya tanya dalam Sidang DUN sebelum ini, didapati Sungai Kreh adalah sungai yang dikategori dalam sembilan sungai yang tercemar di Pulau Pinang.

“Pencemaran najis babi di sungai-sungai ini menyebabkan pencemaran air sungai dan mengeluarkan pencemaran bau yang tidak menyenangkan di kawasan kepadatan penduduk,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Menurutnya, lebih teruk lagi, kawasan itu juga selalu terlibat dengan banjir yang mengakibatkan kesan besar kepada beberapa kampung seperti Kampung Pokok Machang, Kampung Lubuk Meriam, Kampung Tonsun, Kampung Lahar Yooi, Kampung Sungai Korok dan Kampung Seberang Tok Dol.

Tambah beliau, antara kesan lain yang berlaku daripada sungai yang dicemari najis babi tersebut ialah menjejaskan sistem saliran untuk tanaman padi sekali gus mengurangkan hasil padi dengan ketara dan mengakibatkan kerugian.

Malah katanya, tiada lagi hidupan sungai seperti ikan dan udang galah yang menjadi punca pendapatan dalam kalangan penduduk.

“Selain itu juga sumber pendapatan pesawah, petani, nelayan sungai dan peniaga pasar pagi atau malam turut terjejas akibat pencemaran Sungai Kreh ini,” ujarnya.

Sehubungan itu pihaknya berharap isu berkenaan diambil serius kerana hampir 40 tahun Sungai Kreh sepanjang 13 kilometer dicemari najis babi melangkaui beberapa sungai dan kampung, serta menghantui kehidupan penduduk.

Katanya, lebih menyedihkan rata-rata penduduk yang berada di sepanjang sungai tersebut terdiri daripada orang Melayu-Islam.

Baru-baru ini, kerajaan telah menubuhkan Mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Khas bagi menangani masalah tersebut.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, masalah itu akan dibincangkan secara serius dalam jawatan kuasa berkenaan yang ditubuhkan di peringkat negeri.

Mohd Yusni berkata, semoga dengan usaha tersebut dapat memberi kelangsungan hidup yang aman dan sejahtera kepada penduduk sekitarnya. – HARAKAHDAILY 6/9/2020