Rakyat Malaysia digalak sertai kempen UN75

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Semua rakyat Malaysia berpeluang menjadi sebahagian daripada suara dalam Kempen UN75 yang menentukan hala tuju usaha dan tindakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi tempoh 25 tahun akan datang, atau sehingga ia mencapai usia 100 tahun, sempena sambutan ulang tahun ke-75 badan dunia itu.

Penyelaras Residen PBB Malaysia, Singapura dan Brunei Stefan Priesner berkata kempen tersebut, yang dilancarkan pada awal tahun ini, berhasrat menjadi platform perbualan global yang terbesar setakat ini.

“Kempen ini menyeru semua orang di seluruh dunia agar mengambil bahagian dalam survei seminit UN75 secara dalam talian dan mewujudkan dialog yang melibatkan semua lapisan masyarakat di seluruh dunia untuk mendengar harapan dan kebimbangan orang awam serta belajar daripada idea serta pengalaman mereka,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

- Advertisement -

Beliau berkata pandangan dan idea daripada survei global itu akan dibentang kepada pemimpin dunia serta pegawai kanan PBB di majlis sambutan rasmi ulang tahun ke-75 badan dunia itu oleh Perhimpunan Agung PBB pada separuh kedua bulan September ini.

Priesner berkata pada 24 Okt ini, PBB bakal menyambut ulang tahunnya yang ke-75 ketika dunia berdepan cabaran getir termasuk krisis kesihatan global terburuk dalam sejarah.

“COVID-19 adalah peringatan penting mengenai keperluan menjalin kerjasama rentas sempadan, sektor dan generasi. 

“Respons kita akan menentukan berapa pantas dunia mampu pulih, sama ada kita mencapai Matlamat Pembangunan Mampan dan bagaimana kita menangani cabaran mendesak seperti pandemik, ketaksamaan dan krisis iklim. Dialog dan tindakan secara global amat diperlukan ketika ini berbanding sebelumnya,” kata beliau. – BERNAMA  

- Advertisement -