Pengerusi MADA tinjau wilayah pentadbiran

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman telah mengadakan lawatan rasmi turun padang ke Pejabat MADA Wilayah I, II, III dan IV, di sini semalam.

- Advertisement -

Program ini bertujuan untuk beliau mengenali dengan lebih mendalam berkaitan MADA yang mana berkesempatan mengikuti sesi libat urus bersama warga MADA dan peladang di keempat-empat wilayah itu.

Ustaz Tarmizi telah mendapat penerangan langsung di lokasi mengenai usaha di bawah MADA dengan memulakan lawatan itu melihat sendiri projek padi berskala besar yang dilaksanakan di Wilayah I Perlis.

Setelah itu, beliau meninjau perkembangan Projek Pemacu Pertanian Entry Point Projek No.10 (PPP EPP10) iaitu projek Pengukuhan Produktiviti Tanaman Padi di Kawasan Muda di Wilayah II iaitu di Pulau Pak Ubin, Jitra.

Projek lanjutan dari NKEA EPP10 ini akan memenuhi pembinaan infrastruktur tali air tersier bagi meningkatkan kepadatan tali air dari 11m/ha kepada 30m/ha, selain menubuhkan estet padi di kawasan Muda.

Beliau turut berkesempatan meninjau projek Infrastruktur Tandop Pasang Surut di Kuala Tunjang, sebelum ke Wilayah III Pendang yang mengadakan sesi suai kenal bersama usahawan kopi madu kelulut di bawah bimbingan MADA.

Lawatannya berakhir di projek Cili Fertigasi yang juga usaha di bawah MADA yang merupakan projek Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) di Wilayah IV Kota Sarang Semut.

Turut bersama mengiringi beliau ialah Timbalan-timbalan Pengurus Besar MADA iaitu Kamarudin Dahuli (Pertanian), Rozaidi Sharee (Pengurusan Institusi Peladang), Dzulkifli Yaakub (Pengurusan Wilayah) dan Mukhlis Zainol Abidin (Perkhidmatan Pengairan dan Saliran). – HARAKAHDAILY 5/9/2020

- Advertisement -