Pemimpin kompenan PN tidak diundang muktamar

- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA : Muktamar PAS menjemput dua wakil setiap agensi media untuk membuat liputan pada mesyuarat agung tahunan itu, 13 September ini.

Setiausaha Agung PAS Pusat, Dato’ Takiyuddin Hassan berkata, pemimpin parti kompenan Perikatan Nasional (PN) tidak jemput pada muktamar itu.

- Advertisement -

Beliau berkata, hanya perwakilan yang wajib mengikut perlembagaan dibenarkan hadir iaitu empat orang bagi satu kawasan.

“Jemputan luar parti kompenan lain tidak ada, hanya perwakilan yang mesti hadir menurut perlembagaan termasuk empat orang satu kawasan.

“Pengamal media juga akan dijemput membuat liputan cuma bilangannya terhad, kita akan tentukan, minima dua orang satu agensi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Panitia Muktamar di Putik di sini semalam.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, muktamar tersebut diadakan pada dua lokasi berbeza iaitu di pusat dan negeri.

Menurut beliau, persidangan itu diadakan secara atas talian kerana akur terhadap ketetapan yang dilaksanakan kerajaan bagi mengelak wabak Covid-19.

“Untuk kali ini bagi memenuhi peraturan ditetapkan kerajaan, kita mengadakan sidang muktamar atas talian.

“Kita ada 14 negeri, tapi buat siaran langsung ini pada 12 negeri sahaja, Perlis, Kedah gabung begitu juga Negeri Sembilan, Melaka gabung,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/9/2020

- Advertisement -