Gerak kerja bersama hadapi PRU15

- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA: Pertama kali dalam sejarah jentera pilihan raya PAS akan bekerjasama dengan Umno dan Bersatu dalam gerak kerja kempen Pilihan Raya Umum (PRU) yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Naib Presiden PAS Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, tentunya berlaku perbezaan budaya kerja antara parti-parti terbabit.

- Advertisement -

Namun katanya, gerak kerja perlu dilakukan secara bersama atas nama Perikatan Nasional (PN) atau Muafakat Nasional (MN) termasuk keperluan logistik petugas pilihan raya.

“Oleh itu bagi memudahkan proses tersebut Jawatankuasa Pelaksana yang ditubuh di setiap kawasan parlimen perlu digerakkan lebih awal.

“Jawatankuasa tersebut yang dianggotai 11 ahli boleh melakukan gerak kerja mulai sekarang termasuk mengenali lebih dekat antara satu sama lain,” katanya pada Ijtimak Pilihan Raya PAS Kelantan di Putik hari ini.

Ijtimak itu dirasmikan Pesuruhjaya PAS Kelantan Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob. Sempena program itu turut diadakan pelancaran jentera pilihan raya PAS.

Pada ijtimak itu setiap pengarah pilihan raya PAS kawasan menerima panji daripada Ustaz Ahmad. Hadir sama pimpinan PAS negeri dan kawasan seluruh Kelantan.

Mohd Amar juga berkata beliau menjangka PRU15 paling lewat diadakan pada Jun tahun hadapan dengan mengambil lebih tiga tahun selepas PRU14. – HARAKAHDAILY 5/9/2020

- Advertisement -