Aplikasi RRIMniaga dilancar peringkat Perak

PARIT: Pelancaran aplikasi RRIMniaga telah disempurnakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali pada majlis di Dewan Dato’ Maharajalela, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Seri Iskandar, di sini semalam.

Advertisement

Aplikasi RRIMniaga yang dilancarkan ini bertujuan menggalakkan pelesen getah untuk menggunakan aplikasi tersebut bagi memudahkan urusan jual beli getah sama ada daripada pekebun kecil getah atau untuk dijualkan kepada pihak lain.

“Kita telah lancarkan di peringkat Kebangsaan sebelum ini, hari ini dilancarkan di peringkat Negeri Perak sebagai galakan. Mudah-mudahan apabila aplikasi diwajibkan bermula 1 Jan 2021, semua dapat mengambil bahagian,” ujar Dr Khairuddin.

Katanya lagi, selain membantu pekebun kecil getah mendapatkan Insentif Penoreh Getah (IPG) dengan lebih mudah dan berkesan, aplikasi ini turut membantu pelesen getah merekodkan transaksi jualan sama ada secara harian, mingguan, atau mana-mana tempoh tertentu.

“Jika semua yang terlibat dalam urusan jual beli getah telah menggunakan aplikasi ini, ia sekali gus akan membantu Kerajaan, khususnya pihak kementerian dan LGM memantau dan mengenalpasti kadar penghasilan dan penjualan getah di seluruh Malaysia dengan lebih cepat dan mudah,” tegas beliau.

Menurutnya lagi, kerajaan memandang serius kesukaran yang dihadapi oleh pekebun kecil getah dan sentiasa komited mencari kaedah-kaedah terbaik untuk membantu meningkatkan dan memajukan industri komoditi tertua negara ini.

“Pelancaran RRIMniaga ini adalah salah satu daripadanya dan _insya-Allah_ dengan kerjasama semua pihak, kita dapat bersama memanfaatkan khazanah getah yang Allah anugerahkan ini,” katanya lagi sebagai pengukuhan kepada semua yang hadir.

Turut hadiri EXCO Kerajaan Negeri Perak, Khairul Shahril Mohamed dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mad Zaidi Mohd Karli.

Juga Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM), Dato Dr Zairossani Md Noor, Pengerusi LGM Properties Corporation, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib dan para pegawai Daerah Perak Tengah. – HARAKAHDAILY 5/9/2020