Ahli baharu Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Dua bekas hakim Mahkamah Persekutuan adalah antara empat yang dilantik sebagai ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang baharu selama dua tahun bermula semalam.

- Advertisement -

Mereka ialah Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham.

Turut dilantik ialah bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Stephen Chung Hian Guan dan Dekan Fakulti Undang-undang Universiti Malaya Profesor Madya Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin.

Kenyataan media pejabat setiausaha Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman menyebut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bersetuju melantik mereka sebagai ahli suruhanjaya itu mengikut subseksyen 5(1)(f) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.

“Pelantikan ini adalah bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 4 September 2020 hingga 3 September 2022,” menurut kenyataan itu.

Pelantikan mereka adalah bagi menggantikan Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus, Datuk Linton Albert, Datuk Mah Weng Kwai dan Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi yang tamat tempoh perkhidmatan semalam.

Menurut kenyataan itu, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman merakamkan penghargaan dan terima kasih atas perkhidmatan Mohd Hishamudin, Linton, Mah dan Shad Saleem sepanjang tempoh mereka menjadi ahli suruhanjaya tersebut. – BERNAMA

- Advertisement -