RM400 juta jaya Tabung Musa’adah Covid-19

PENGKALAN CHEPA: Kerajaan membelanjakan kira-kira RM400 juta untuk menjayakan Tabung Musa’adah Covid-19 bagi membantu meringankan beban pihak yang terjejas akibat wabak itu.

Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, menerusi usaha tersebut banyak pihak mendapat faedahnya.

Advertisement

Katanya setakat ini hampir RM400 juta dapat manfaat Musa’adah Covid-19 termasuk program menyantuni gelandangan, masyarakat Orang Asli, asnaf dan sebagainya.

“Saya anggarkan puluhan ribu dapat manfaatnya. Pada Ramadan lepas di Wilayah Persekutuan sahaja kita jamu makanan melalui program dapur it’am melibatkan lebih tiga juta orang.

“Selain itu guru Takmir kita bagi penuh elaun tiga bulan, guru Kafa dan guru tahfiz begitu juga diberi sumbangan,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Inspirasiku My H.A.U.S di bawah YaPEIM Peringkat Negeri Kelantan di Kampung Parang Puting di di sini, semalam.

Turut hadir timbalannya Ustaz Ahmad Marzuk Shaary, anggota Exco Kerajaan, Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, Adun Chempaka Ustaz Ahmad Fathan Mahmood dan Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM Parihah Hasan. – HARAKAHDAILY 4/9/2020