Pendeposit TH perlu pastikan akaun berstatus aktif

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) menyarankan pendeposit TH yang tidak melakukan sebarang transaksi melebihi tujuh tahun berturut-turut sejak 2013 supaya mengaktifkan kembali akaun mereka bagi mengelak dikategorikan sebagai tidak aktif atau berstatus dorman.

Dalam satu kenyataan hari ini, TH bagaimanapun memaklumkan simpanan dalam akaun dorman masih boleh dituntut sekiranya akaun diaktifkan semula dengan hanya melakukan sekurang-kurangnya satu transaksi simpanan atau pengeluaran wang.

Advertisement

“Transaksi boleh dilakukan di 10,000 touch points TH atau melalui kaunter, dalam talian dan mesin ATM atau CDM rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Maybank, Bank Rakyat dan CIMB.

“Adalah penting supaya akaun pendeposit TH berstatus aktif, agar mereka terus menikmati manfaat menyimpan di TH seperti simpanan dijamin kerajaan, agihan keuntungan, zakat dibayar, patuh syariah, dikecualikan cukai dan berpeluang menyertai kempen simpan, daftar dan menang,” menurut TH. 

TH juga mengingatkan para pendeposit supaya mengemas kini data peribadi seperti alamat, nombor telefon dan penamaan waris bagi memudahkan pihak TH menghubungi waris bagi urusan penghantaran surat tawaran haji dan pengurusan akaun.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh hubungi talian Khidmat Pelanggan (THCC) di 03-6207 1919. – BERNAMA