PAS akan lapor SPRM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS akan melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pelepas melibatkan perobohan kediaman penduduk Desa Subang Perantau 2, hari ini.

Menurut Yang di-Pertua PAS Kawasan Sungai Buloh, Dr Zaharudin Muhammad berkata, kemungkinan besar terdapat permainan politik licik dalam projek RTB berhubung beberapa perkara yang cuba diselindungkan.

- Advertisement -

Antaranya ialah penerimaan bayaran pampasan (ex-gratia) yang tidak telus kepada penduduk yang terjejas.

“Jumlah pampasan yang dicatatkan oleh pejabat tanah bernilai lebih daripada RM390,000, tetapi jumlah yang diterima oleh penduduk hanya RM240,000 sahaja.

“Malah, kerajaan negeri memberikan tempoh selama seminggu sahaja bagi menjelaskan cek yang telah diberikan.

“Kemudian, penduduk dipaksa untuk menandatangani surat akur janji dan salinannya tidak diberikan kepada penduduk,” ujar Zaharudin dalam satu sidang media di Pusat Sumber dan Komuniti, Desa Subang Perantau 2, di sini, semalam.

Katanya, lebih mengejutkan pihak kerajaan negeri mempamerkan sikap kesamsengan apabila mengganggu proses penduduk dalam mencari jalan penyelesaian bagi isu tersebut.

“Sepatutnya pihak tertentu itu mengugut juru ukur yang telah melencongkan pelan sungai sehingga mengganggu tanah penduduk tetapi sebaliknya yang berlaku, juru ukur yang diupah penduduk pula yang diugut.

“Contohnya, katakanlah dengan nilai RM1 juta yang diminta oleh juru ukur untuk buat semula pengukuran, kerajaan negeri boleh ugut dia dengan tidak akan memberikan projek kepada mereka, tetapi berlaku sebaliknya.

“Isu lain ialah kalau wang tersebut diperuntukkan oleh pihak kerajaan negeri bagi mengupah juru ukur, pihak Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah sediakan perkhidmatan tersebut secara percuma, jadi apa isunya?,” soalnya.

Zaharudin menambah, di peringkat PAS pusat juga tidak putus-putus membantu penduduk untuk meyakinkan pihak kerajaan negeri agar memilih jalan penyelesaian yang terbaik buat penduduk di situ.

“Saya rasa dalam seminggu tidak kurang daripada tiga kali kami (Dr Zaharudin dan Dr Zuhdi) turun naik untuk berjumpa dengan pihak kerajaan negeri supaya memilih pilihan yang kedua iaitu melebarkan sungai di bahagian tanah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Kami sudah teliti segala impak dan kesannya terhadap alam sekitar dan sungai tersebut dari segi profesionalnya, arkiteknya dan pengukurannya, semuanya tiada masalah,” katanya.

Jelasnya, walaupun acap kali ditekankan hal yang sama, kerajaan negeri Selangor tetap berkeras untuk melencongkan laluan sungai ke kediaman penduduk dan menjejaskan hampir 19 buah keluarga.

Katanya, pihaknya tekad untuk menyokong dan membantu kerana prihatin akan nasib orang Melayu dan Islam yang teraniaya oleh pemerintahan kerajaan negeri.

“Kalau orang ceroboh tanah kerajaan, kami tak akan sokong tapi isu penduduk ini, kesnya lain kerana mereka sudah duduk dari tahun 1990an, sudah lama.

“Mereka dirikan rumah sebelum Tun Mahathir ubah beberapa undang-undang berkaitan tanah, ketika itu budayanya berbeza, jika mahu mohon tanah kerajaan, maka tapak rumah harus dibina terlebih dahulu, selagi mana tanah itu bukan milik sesiapa dan tidak digazetkan kepada sungai.

“Maka, dari segi Undang-undang Islam, mereka berhak ke atas tanah tersebut tetapi oleh kerana Land Acquisition Act diubah beberapa kali yang menyebabkan kuasa mutlak itu ada pada kerajaan sekarang dan rakyat yang menetap daripada tahun 1990an dan ke atas dinafikan haknya,” ucapnya.

Jelas Zaharudin, pihak kerajaan negeri juga seolah-olah tidak mengambil berat dan perhatian terhadap keluhan penduduk di situ.

“Menteri Besar Selangor tak turun pun tengok sungai dan keadaan sebenar persekitaran di situ, setakat datang naik kereta pada waktu malam maka beliau tak jelas akan isu tersebut.

“Bila saya tengok pelan dan lihat kawasan dengan teliti, saya tahu isu ini sebenarnya boleh mendapat pembelaan kepada penduduk,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/9/2020

- Advertisement -