Hentikan operasi kilang cemar Sg Selangor

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menggesa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menutup kilang menyelenggara mesin dan jentera di Sungai Gong yang dipercayai punca pencemaran bau Sungai Selangor, sekali gus menarik balik lesen operasi.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata siasatan awal mendapati punca pencemaran disebabkan kilang berkenaan gagal melakukan penstoran sisa minyak buangan mengikut syarat yang ditetapkan.

Advertisement

Katanya tindakan itu mengakibatkan 1.2 juta pemegang akaun meter di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang dan Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak termasuk Kuala Langat terjejas.

Ujarnya, pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan bahawa Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang masih belum dapat beroperasi sehingga 6.30 pagi tadi.

Hal ini berikutan pencemaran masih dikesan di muka sauk loji-loji dan kini berada pada tahap 1 TON, berbanding semalam pada 2 TON dan LRA hanya boleh beroperasi apabila tahap pencemaran berada pada tahap 0 TON.

Mengulas lanjut, Shahir dalam kenyataannya hari ini berkata tindakan tegas perlu dikenakan agar kejadian sebegini tidak akan berulang lagi.

“Keadaan hari ini menunjukkan mereka yang merosakkan sungai kita seakan-akan tidak mempedulikan tindakan undang-undang, mungkin kerana terlalu ringan buat mereka, atau tiada penguatkuasaan yang ketat oleh pihak PBT.

“Penutupan kilang selama 14 hari untuk siasatan lanjut dan kerja-kerja pembersihan, serta notis amaran dilihat gagal membendung masalah ini. Tindakan lebih keras wajar dikenakan agar tidak berulang,” katanya lagi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Perlindungan Pengguna SPAN, berkata pencemaran di muka sauk ini hampir keseluruhannya disebabkan oleh kilang komersil sehingga LRA terpaksa ditutup demi keselamatan dan kesihatan rakyat. – HARAKAHDAILY 4/9/2020