Ambil tindakan segera atasi pencemaran Sg Selangor

Foto: Facebook Air Selangor

KUALA LUMPUR: Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) Dewan Muslimat Negeri Selangor (DMPNS) menyokong penuh gesaan Ahli Dewan Undangan Negeri Sijangkang, Dr Yunus Khairi supaya kerajaan Negeri Selangor mengambil langkah segera secara drastik untuk menangani isu pencemaran air di Selangor.

Pengerusi LATAS DMPNS, Nor Riha Yusoff berkata, denda dan kompoun yang dikenakan bagi kesalahan membabitkan pencemaran daripada sisa perindustrian terlalu rendah.

Advertisement

Malah katanya, tidak memadai dengan kesalahan yang telah membabitkan lebih 1.2 juta pemegang akaun meter Air Selangor yang terjejas akibat kecuaian itu.

Beliau berkata, kerajaan Negeri Selangor perlu menilai semula peraturan sedia ada agar hukuman yang lebih berat dikenakan kepada pemilik kilang yang mencemar sumber air negeri itu.

Dalam pada itu, LATAS DMPNS menggesa kerajaan Negeri Selangor supaya merobohkan semua kilang haram yang berada sepanjang jajaran sungai serta kilang-kilang yang berlesen juga mesti dipindahkan ke zon yang lebih selamat.

Justeru itu, LATAS DMPNS mencadangkan supaya pembangunan tapak industri yang akan datang dibina dari rizab pematuhan zon hijau. – HARAKAHDAILY 4/9/2020