Tidak hentikan langkah jihadmu

- Advertisement -

ADIK-adik dan anak-anak sekalian… teruskan khidmat dan bakti kepada agama dan jamaah ini. Jangan sibuk menoleh kiri dan kanan sehingga hilang fokus kalian kepada perjuangan ini. Biar robek pakaianmu digigit serigala. Biar calar-balar betis dan tubuhmu dikait duri dan onak. Biar peluh bersimbah dari jasadmu… namun perjalanan diteruskan.

Memang sifat perjuangan ini ada rintangan dan halangannya, kerana cabaran dan rintangan itulah nanti yang akan mengajarmu terus istiqamah di atas jalan ini dan sirath di akhirat. Jangan bersedih kerana lambatnya permusafiranmu, kerana Allah mahu kamu kuat dan kemudian layak diberi kemenangan. Ingat wahai adik-adik dan anak-anak… perjalanan yang pantas belum tentu akan istiqamah. Pokok yang cepat berbuah belum tentu mampu bertahan dalam ribut taufan. Sudah ramai kita saksikan orang yang pantas memanjat tapi akhirnya jatuh di hujung julai.

Bersabar dan bertabahlah… semakin ke tengah kamu mendayung sudah tentu akan semakin besar badainya. Dunia perjuangan ini bukan macam istana yang dibentang hamparan sutera. Makan minum sudah tersedia. Dunia perjuangan bukan macam rumah kebajikan yang diberikan percuma segala-galanya. Dunia perjuangan bukan macam hospital yang sentiasa ditemani nurse-nurse yang akan merawat dan melayanmu. Dunia perjuangan ini adalah dunia yang memerlukan kekuatan diri mu sendiri. Dunia ini ada segalanya. Musuh yang jahat dan teman yang khianat, ada di dalamnya nikmat yang lazat dan istidraj yang menjerat. Awaslah…

- Advertisement -

Bagaimana mahu tenang menghadapi gelombang fitnah perjuangan dan segala kesakitannya? Ya… dekatkan dirimu dengan Allah. Bersahabatlah dengan Allah kerana Dia lah sebaik-baik teman. Dia akan kurniakan mu ainul basirahyang membuatmu mampu menyuluh haqa’iqul asyak (hakikat sesuatu). Dengannya kamu tidak akan khianat kepada Tuhan-mu, Rasul-mu, pimpinanmu, jamaahmu, temanmu dan lebih-lebih lagi kamu tidak akan khianat kepada dirimu sendiri. Kamu akan waspada dalam nikmat dan akan bersabar dalam bala’.

Teman-teman… adik-adik dan anak-anak sekalian… hidup ini sebentar sahaja. Syukurlah kerana Allah memilih kita semua berada dalam wadah agama-Nya. Biar di mana posisi kita… jangan pernah berhenti dari perjuangan. Ingat… tentera yang mampu meneruskan perjalanan jihad bersama Tholut hanyalah orang yang meneguk air minuman sekadar seraup dua tapak tangannya. Adapun pejuang yang menghirup segala nikmat air yang dingin itu tidak mampu lagi meneruskan perjalanannya.

Teruskan jihad di medan ini.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 3/9/2020

- Advertisement -