Teks ucapan PM pada Konvensyen Kerajaan PN

Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional

- Advertisement -

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM.

- Advertisement -

Assalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.

YB Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang
Presiden 
Parti Islam Se-Malaysia

YBhg Profesor Dr Jamil Hashim
Presiden
Persatuan Intelektual Negara

Dif-dif jemputan
Datuk-datuk, Datin-datin, saudara dan saudari yang saya hormati sekalian.

Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari sihat wal afiat.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur yang sudi menjemput saya untuk hadir dalam Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional pada hari ini. Pada hemat saya, konvensyen ini yang para pembentang kertas kerjanya adalah terdiri dari ahli-ahli akademik dan sebahagian besar pesertanya juga adalah ahli-ahli akademik, merupakan satu platform yang amat sesuai untuk saudara-saudari memberikan penilaian yang bebas, adil dan objektif mengenai pencapaian Kerajaan Perikatan Nasional yang terbentuk sejak enam bulan yang lalu. 

Saya sedar tempoh enam bulan pastinya agak singkat untuk mana-mana kerajaan dinilai  pencapainnya. Dalam keadaan biasa, enam bulan adalah umpama tempoh percubaan atau probation period. Sudah pasti tempoh yang agak lebih lama diperlukan untuk membuat penilaian yang lebih komprehensif mengenai pencapaian sesebuah kerajaan.

Namun, sebagaimana saudara-saudari juga sedia maklum, Kerajaan Perikatan Nasional terbentuk bukan dalam keadaan biasa. Ia terbentuk dalam keadaan krisis politik yang julung-julung kali melanda negara kita. Suatu krisis yang tidak pernah berlaku sebelum ini. It is an unprecedented crisis.

Saya dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah mantan Perdana Menteri meletak jawatan dan saya mendapat sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen dari parti BERSATU, Barisan Nasional, PAS, GPS, STAR dan PBS. Antara yang paling awal menyokong saya ialah YB Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Marang dan Presiden PAS yang ada di sini pada hari ini. Terima kasih saya ucapkan.

Saya sendiri pun tidak menjangka akan menjadi Perdana Menteri. Tetapi oleh kerana berlakunya krisis politik yang agak rumit pada ketika itu, rakan-rakan pimpinan  parti-parti yang membentuk Kerajaan Perikatan Nasional hari ini mencadangkan nama saya sebagai Perdana Menteri. Setelah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa saya mendapat sokongan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat, maka jadilah saya Perdana Menteri. Keberadaan saya di sini hari ini selain daripada ketentuan Allah Yang Maha Kuasa adalah kerana sokongan yang saya terima daripada Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Sebagai Perdana Menteri, tugas saya yang pertama menurut Perlembagaan Persekutuan ialah membentuk Kabinet. Maka saya telah membentuk Kabinet saya yang menggabungkan Ahli-ahli Parlimen dari parti-parti yang menyokong saya, seorang ahli perbankan dan seorang mantan mufti. Kabinet inilah yang membentuk sebuah kerajaan yang dinamakan Kerajaan Perikatan Nasional. 

Pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional bukanlah selepas diadakan pilihan raya seperti biasa, tetapi berdasarkan peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, kerajaan ini tidak mempunyai apa-apa manifesto atau Aku Janji yang biasanya dibentangkan kepada rakyat semasa kempen pilihan raya. Tanpa manifesto, saya fikir agak sukar untuk saudara-saudari menilai pencapaian kerajaan. Janji-janji mana yang telah tertunai dan mana yang belum tertunai tidak boleh disenaraikan satu-persatu.

Namun, ini tidak bermakna bahawa saya boleh melakukan sewenang-wenangnya. Tiada manifesto bukan bermakna tiada kebertanggungjawaban atau accountability kepada rakyat. Accountability sebagai pemimpin tetap ada. Sebagai seorang Muslim saya berpegang teguh kepada hadis Rasulullah S.A.W:

Kullukum rai’n wa kullu ra’in mas’ulun ‘an raíyyatih 

“Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab ke atas orang-orang yang dipimpinnya.”

Saya terima jawatan Perdana Menteri dengan menggalas amanah rakyat di bahu saya. Saya bertanggungjawab kepada rakyat. Menteri-menteri yang saya lantik juga bertanggungjawab kepada rakyat. Jika kami gagal memikul amanah kepada rakyat dengan baik, kami akan dipersoalkan oleh rakyat. Itu prinsip yang paling utama. 

Sebab itu, Kerajaan Perikatan Nasional sebaik saja dibentuk terus berfungsi sebagai kerajaan yang bekerja siang dan malam untuk membela rakyat. Kami tiada masa untuk berbulan madu sebagai kerajaan baharu. There is no honeymoon period for all of us. We worked as a functioning government from the word go.

Krisis getir yang menguji kebertanggugjawaban Kerajaan Perikatan Nasional kepada rakyat ialah COVID-19. Krisis seumpama ini tidak pernah berlaku di negara kita dan di seluruh dunia. It is an uprecedented crisis of a global scale that has gripped the whole world.

Namun Alhamdulillah, berkat kesungguhan kerajaan dengan dukungan para frontliners, penjawat awam, sukarelawan dan disiplin rakyat, negara kita telah berjaya mengharungi krisis ini dengan baik. Malaysia dikatakan antara negara yang paling berjaya dalam menangani krisis COVID-19.

Antara faktor kejayaan kita ialah ketegasan dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan. Kedai tutup, pejabat tutup, sekolah tutup, kilang-kilang tutup, hampir kesemuanya ditutup hingga tiada pergerakan langsung. Our country was almost at a stand still. Ini antara langkah awal yang kita ambil untuk membendung penularan wabak COVID-19. Langkah ini penting diambil oleh kerajaan demi untuk menjaga nyawa rakyat.

Langkah kedua ialah memberikan perlindungan ekonomi kepada rakyat. Yes, when our country was almost at a stand still, the first to be badly affected was our economy. Hampir semua aktiviti ekonomi terhenti. Rakyat tidak boleh keluar bekerja dan berniaga seperti biasa. Pendapatan mereka terjejas. Kehidupan mereka terancam.

Sebagai Perdana Menteri yang bertanggungjawab kepada rakyat, saya tidak boleh biarkan perkara ini begitu sahaja. Ya, melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan mungkin mudah, tetapi memastikan rakyat mempunyai perlindungan ekonomi yang mencukupi ketika semua kegiatan ekonomi hampir terhenti bukanlah mudah. Dalam keadaan ini, saya tidak boleh biarkan rakyat merempat dan kelaparan. I have to ensure that all of you have roof on your head and food on your table.

Kerana itu saya minta Menteri Kewangan supaya cari duit. Saya tak sampai hati nak beritahu rakyat yang kerajaan tiada duit ketika mereka berada dalam kesusahan. Menteri Kewangan lapor semula kepada saya, “Yes sir, we have money”. I said, “Ok, we will use the money to help ease people’s burden”.

Wang inilah yang digunakan oleh kerajaan untuk menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat menerusi pakej-pakej rangsangan ekonomi yang kesemuanya bernilai RM295 bilion. Ramai yang telah menerima manfaat daripada pelbagai bentuk bantuan yang disalurkan oleh kerajaan dan mereka amat berterima kasih.

Alhamdulillah, selepas enam bulan, Malaysia telah hampir berjaya membendung wabak COVID-19. Kes-kes penularan tempatan adalah rendah. Pada masa-masa tertentu jumlah kes harian yang dilaporkan hanya satu digit sahaja. Kadar kesembuhan juga tinggi iaitu 97 peratus dan kadar kematian kekal rendah pada 1.3 peratus. Sektor-sektor ekonomi juga telah dibuka semula dengan lebih 15 juta pekerja kembali bekerja.

Selain itu, dalam tempoh enam bulan ini, Kerajaan Perikatan Nasional telah meletakkan beberapa asas penting yang akan menjadi halatuju kerajaan untuk tempoh masa yang akan datang. 

Pertama, dari segi ekonomi, kerajaan sedang memberi tumpuan kepada usaha-usaha untuk memulih dan merancakkan semula ekonomi negara pasca COVID-19 menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau PENJANA. Sepertimana yang berlaku di negara-negara lain, sektor-sektor ekonomi di negara kita terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. Namun, ekonomi negara kita sedang menunjukkan tanda-tanda pemulihan setelah hampir semua sektor ekonomi dibuka semula. Insya-Allah, sekiranya trend pemulihan ini berterusan, negara kita dijangka akan mencatat pertumbuhan positif pada tahun hadapan;

Kedua, Kerajaan Perikatan Nasional akan terus memberikan tumpuan kepada usaha untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan pada masa yang sama memastikan hasil kemakmuran negara dikongsi secara adil dan saksama oleh seluruh warga negara tanpa mengira perbezaan kaum, agama, status sosial dan wilayah. Dalam konteks ini, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 akan menjadi paksi dasar dan program ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan Perikatan Nasional;

Ketiga, Kerajaan Perikatan Nasional juga akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Agenda Bumiputera sebagai agenda nasional. Bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam pelbagai sektor ekonomi, kerajaan telah menubuhkan Majlis Kemakmuran Bumiputera yang dipengerusikan oleh saya sendiri;

Keempat, Kerajaan Perikatan Nasional juga akan memberi tumpuan kepada usaha pendigitalan Malaysia menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12;

Kelima, memastikan Malaysia mempunyai jaminan makanan yang mencukupi akan menjadi salah satu teras utama pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional. Untuk tujuan ini, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara telah diwujudkan untuk meneliti segala dasar, inisiatif dan program yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dan swasta untuk menambah pengeluaran makanan dalam negara;

Keenam, kerajaan Perikatan Nasional akan meneruskan komitmen kepada usaha membanteras rasuah menerusi pelaksanaan Pelan Anti-Rasuah Nasional. Selain itu, usaha-usaha reformasi institusi akan dilaksanakan demi mewujudkan sebuah pentadbiran yang kompeten, telus dan berintegriti;

Ketujuh, bidang pendidikan akan diberikan keutamaan demi melahirkan modal insan negara yang berkemahiran, berpengetahuan dan berbudi pekerti mulia. Untuk itu, kualiti guru, pensyarah, kurikulum dan infrastruktur pendidikan akan terus dipertingkatkan. Sektor pendidikan negara kita mesti bersedia untuk mendepani pelbagai cabaran baharu termasuk meningkatkan penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran secara maya;

Kelapan, reformasi dalam sektor kesihatan juga akan menjadi keutamaan Kerajaan Perikatan Nasional. Wabak COVID-19 yang melanda dunia dan negara kita amat menguji kualiti dan kesiapsiagaan sistem kesihatan negara. Alhamdulillah, kejayaan Malaysia menangani penularan wabak COVID-19 membuktikan negara kita mempunyai sistem kesihatan yang baik. Namun, saya percaya masih banyak ruang-ruang yang boleh diperbaiki. Saya akan memberikan keutamaan kepada usaha untuk menambah baik sistem kesihatan di negara kita yang pastinya akan memberikan manfaat yang besar kepada rakyat;

Kesembilan, aspek keselamatan dan ketenteraman awam akan diberikan keutamaan oleh Kerajaan Perikatan Nasional. Rakyat mesti berasa selamat untuk tinggal di negara ini. Usaha-usaha untuk mengurangkan kadar jenayah, mengawal sempadan negara daripada diceroboh, memelihara kedaulatan wilayah, memerangi keganasan dan menangani masalah pendatang asing tanpa izin akan diberikan keutamaan oleh kerajaan; dan

Kesepuluh, perpaduan kaum dan keharmonian antara masyarakat berbilang agama akan terus dipupuk dan dipertahankan. Usaha ini tentunya memerlukan kesedaran, sokongan dan dukungan seluruh rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah. Kerajaan Perikatan Nasional menubuhkan sebuah kementerian khusus iaitu Kementerian Perpaduan Negara untuk melaksanakan pelbagai program dan dasar yang bertujuan untuk memperkukuhkan perpaduan nasional.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

Saya serahkan kepada rakyat untuk menilai pencapaian Kerajaan Perikatan Nasional di bawah kepimpinan saya. Ya, saya telah melakukan sebaik mungkin untuk melunaskan tanggungjawab saya kepada rakyat. Tetapi bukanlah hak saya untuk mengatakan sama ada saya telah melakukan yang terbaik. Rakyatlah yang paling berhak untuk menilai.

Dari mula saya menjawat jawatan Perdana Menteri, saya bertawakal kepada Allah. Bagi saya, kedudukan saya tidaklah penting, tetapi bagaimana saya menjalankan amanah kepimpinan itu lah yang paling utama. Amanah kepimpinan ini adalah satu ujian buat saya dan saya mesti melakukan perkara yang betul. Saya tidak boleh sekali-kali berkompromi pada hal prinsip.

Prinsip yang paling utama ialah prihatin kepada rakyat. It is my responsibility to be caring to the people regardless of race, creed and colour. This is my utmost priority. What I have done for the past six months was based on this principleI have to take care not only of people’s lives but also their livelihood.

Bantuan Prihatin Nasional, moratorium pinjaman bank, bantuan khas untuk perusahaan kecil dan sederhana, subsidi upah, diskaun bayaran bil elektrik dan inisiatif-inisiatif lain di bawah pakej-pakej rangsangan ekonomi yang telah dilaksanakan adalah bukti keprihatinan kerajaan kepada rakyat. Kerajaan Perikatan Nasional adalah kerajaan prihatin rakyat. Jika keadaan memerlukan, insya-Allah kerajaan akan melaksanakan beberapa inisiatif lagi termasuk pakej rangsangan ekonomi tambahan untuk membantu rakyat. 

Satu lagi prinsip yang amat penting ialah integriti. Saya tidak akan berkompromi dalam hal integriti. Saya tidak akan memperdagangkan integriti saya semata-mata untuk menjaga kedudukan dan pangkat. Yang benar tetap benar. Yang batil tetaplah batil. Saya pernah disingkir dari kerajaan kerana mempertahankan kebenaran. Tidak mungkin saya membenarkan kebatilan bila mana saya berada semula dalam kerajaan.

Inilah prinsip saya. Inilah kewajipan saya kepada Tuhan dan amanah saya kepada rakyat. Yang penting apabila ditanya oleh rakyat adakah saya telah melaksanakan amanah saya, saya boleh katakan ya, saya telah laksanakan. Selebihnya, saya berserah kepada Allah. Fa iza azamta fa tawakkal ala Llah.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

Saya berharap konvensyen yang diadakan pada hari ini dapat mengumpulkan idea-idea bernas yang boleh membantu Kerajaan Perikatan Nasional memperbaiki pencapaiannya. Saya difahamkan satu memorandum akan diserahkan kepada saya selepas ini. Insya-Allah, saya akan meniliti kandungannya dan mengambil perhatian terhadap segala cadangan yang dikemukakan oleh saudara dan saudari sekalian.

Saya sekali lagi ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pertubuhan  Intelektual Negara yang menghimpunkan para cendekiawan dalam pelbagai bidang untuk menjayakan konvensyen penting ini. Syabas dan terima kasih atas usaha murni ini.

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

YAB TAN SRI DATO’ MUHYIDDIN MOHD YASSIN
Perdana Menteri Malaysia – HARAKAHDAILY 3/9/2020

- Advertisement -