Resolusi Konvensyen Setengah Tahun PN

- Advertisement -

PERTUBUHAN Intelektual Negara (PINTAR) sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menghimpunkan intelektual dan ilmuwan negara Malaysia dengan kepelbagaian bangsa dan agama.

Menjadi platform menyuarakan pandangan dan nasihat berasaskan keilmuwan serta kepakaran. Membudayakan ilmu berasaskan fakta, nilai-nilai agama dan adab Timur di dalam masyarakat dan negara.

Memahami bahawa Persekutuan Malaysia adalah sebuah negara demokrasi berparlimen dengan Perlembagaan dan Rukun Negara yang menjamin keadilan dan kesejahteraan buat semua, mendaulatkan Islam sebagai agama persekutuan dan Raja sebagai payung rakyat serta hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera yang telah dipersetujui bersama.

- Advertisement -

Pada hari ini di dalam Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN 2020 menyatakan bahawa kami dengan penuh tawadhuk dan ikhlas:

(1) Bersetuju golongan intelektual dan ilmuwan negara perlu melibatkan diri dan dilibatkan oleh kepimpinan kerajaan di dalam pembangunan politik, sosial dan ekonomi ummah, khususnya intelektual yang memenuhi aspirasi kerajaan semasa.

(2) Bersetuju bahawa berdasarkan kajian semasa, pentadbiran kerajaan yang dipimpin oleh Perikatan Nasional di bawah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mempamerkan prestasi yang cemerlang berteraskan kebajikan, keprihatinan, ketelusan dan kemakmuran untuk semua rakyat walaupun baharu setengah tahun pemerintahan.

(3) Bersetuju bahawa situasi krisis kesihatan dan ekonomi terburuk dunia akibat COVID-19 memberi impak yang besar kepada negara ini memerlukan sebuah kerajaan yang cekap, komited serta kreatif di dalam pemulihan kesejahteraan hidup rakyat.

(4) Menyeru kerajaan pimpinan Perikatan Nasional meneruskan prestasi cemerlang membebaskan negara dan rakyat daripada krisis COVID-19 ini dengan mengutamakan kebajikan rakyat, berintegriti tinggi di dalam pemerintahan, berteraskan asimilasi budaya antara kaum, mengutamakan nilai agama dan adab Timur serta berpaksikan ilmu, intelek dan kepakaran.

(5) Menyeru semua lapisan rakyat, intelek, ahli politik dan pimpinan negara mempertahankan kestabilan politik, bermuafakat dan ikhlas bersama-sama memulihkan kesejahteraan negara demi kemakmuran anak-anak Malaysia pada masa hadapan. – HARAKAHDAILY 3/9/2020

- Advertisement -