Pinda Akta 333 untuk tindakan lebih keras

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bertujuan membolehkan tindakan tegas dikenakan terhadap pemandu mabuk, dan bukannya untuk mencabul hak individu mengambil minuman alkohol.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata pindaan itu bertujuan menjaga keselamatan pengguna jalan raya, dan ia bukanlah perkara asing kerana tindakan itu turut menjadi amalan di negara-negara lain.  

“Kita bukan hendak cabul hak orang lain, kalau dia hendak minum, boleh iaitu selain Muslim, tetapi kalau dah minum kita beri amaran jangan bawa kenderaan,” katanya.

- Advertisement -

Beliau menjawab soalan Senator Raj Munni Sabu yang ingin tahu sama ada kerajaan bersedia meneruskan inisiatif untuk meminda undang-undang berkaitan pemandu mabuk, pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini. 

Wee berkata dalam tempoh lima tahun lepas, 47 kematian dicatatkan disebabkan kecuaian pemandu mabuk berbanding 6,000 hingga 7,000 kematian setiap tahun akibat kemalangan jalan raya di negara ini.

Beliau menegaskan walaupun jumlah kematian pengguna jalan raya disebabkan pemandu mabuk itu rendah, ia meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat dan keadaan itu memerlukan komitmen kerajaan untuk bertindak proaktif bagi mengatasi masalah berkenaan.
 
“Ia memerlukan kerajaan untuk mengambil tindakan tuntas. Bukan sahaja menerusi penguatkuasaan tetapi juga pendidikan melalui advokasi. Perkara ini penting untuk memahamkan rakyat kenapa kerajaan perlu mengambil tindakan tegas,” katanya.

Wee  berkata secara spesifik, Seksyen 41 dan Seksyen 45 akta itu merupakan komitmen kerajaan untuk memastikan tindakan tegas dikenakan bukan sahaja kepada pemanduan di bawah pengaruh alkohol, tetapi juga dadah atau memandu secara melulu termasuk merempit.

Beliau berkata Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 dijadual untuk dibentang, dibahas di Dewan Negara pada pertengahan bulan ini dan beliau berharap ia akan diluluskan oleh semua Ahli Dewan Negara.

Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 diluluskan Dewan Rakyat pada 26 Ogos lepas. – BERNAMA

- Advertisement -