Normalisasi Israel: Conteng arang ke muka umat

- Advertisement -

BELUM pun reda luka umat Islam dengan berita letupan terbesar selepas Hiroshima dan Nagasaki yang berlaku di Beirut, Dunia Islam dikejutkan lagi dengan berita normalisasi hubungan antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan negara haram Israel. Hampir seluruh Dunia Islam memprotes pengumuman yang dibuat pada 13 Ogos lalu. Namun ia tidak merubah apa-apa.

Beberapa hari lepas, tersebar pula berita Arab Saudi yang membenarkan ruang udara mereka dilalui oleh pesawat Israel untuk mendarat di Abu Dhabi. Dalam keadaan Israel masih konsisten mengebom umat Islam di Gaza, Kerajaan Arab dilihat terus ‘bermesra’ dengan musuh utama umat Islam masa kini. Bahkan Arab Saudi turut dipanggil untuk menyertai persidangan bagi memeterai perjanjian diplomatik melibatkan Amerika Syarikat (AS), UAE dan Israel.

Sejarah Palestin-Israel

Palestin adalah sebahagian dari Tanah Syam yang dibuka oleh umat Muhammad S.A.W pada tahun ke-16 hijrah di tangan Khalifah Umar al-Khattab. Legasi pemerintahan Palestin diteruskan selepas itu oleh semua Khilafah Umawiyyah, Abbasiyah hinggalah ke Uthmaniah.

- Advertisement -

Di ambang kejatuhan Uthmaniyyah, peta Palestin telah berada di bawah pengaruh penjajahan British. Berdasarkan Deklarasi Balfour 1917, British telah membenarkan penghijrahan besar-besaran Yahudi seluruh dunia ke Palestin. Apabila Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ditubuhkan, Zionis telah membawa usul dan melobi supaya mewujudkan sebuah negara berdaulat bernama Israel ditubuhkan di atas peta Palestin. Hasilnya, negara haram Israel muncul pada tahun 1948 dan Palestin terus dinafikan hak di tanah air mereka sendiri.

Namun, perjuangan umat Islam untuk menuntut pembebasan Palestin tidak berhenti. Pelbagai siri peperangan yang berlaku melibatkan penduduk Palestin sendiri dan juga negara-negara jiran seperti Jordan, Syria dan Mesir melawan Kerajaan Zionis. Namun dengan beredarnya masa, Israel semakin mengukuh dan umat Islam semakin hilang taringnya. Lalu timbullah idea normalisasi (التطبيع) bagi menerima kedaulatan Israel di atas tanah air Palestin dengan pelbagai versi.

Deal Of The Century

Terbaru, pentadbiran US di bawah Donald Trump sedang merangka sebuah kerjasama antarabangsa melibatkan beberapa buah negara dalam isu Palestin-Israel. Perjanjian yang dikenali sebagai ‘Deal Of The Century’ adalah satu usaha perdamaian untuk mengiktiraf kedaulatan kedua-dua pihak (Islam dan Yahudi) kononnya bagi menghentikan pertelagahan yang sudah lama berlangsung. Walau bagaimanapun, daripada maklumat-maklumat bocor berkenaan rundingan perjanjian ini, kesemuanya berat sebelah dan tidak memihak kepada umat Islam.

Hari ini, perjanjian UAE-Israel yang turut melibatkan AS dilihat hanyalah kelangsungan daripada idea Deal Of The Century. Walaupun dilaporkan peng’ilhaq’an (annexation) Tebing Barat ke Israel ditangguhkan hingga termeterainya perjanjian terbabit, namun ia hanyalah sebuah penangguhan, bukan pembatalan. Ia tetap akan diteruskan di masa akan datang. Sejak Trump mengambil alih pentadbiran AS, beliau sudah mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan Bukit Golan sebagai milik Israel.

Tidak dinafikan, tekanan terhadap tanah suci ketiga umat Islam itu semakin lama semakin hebat. Namun sebagai umat Islam, kita perlu terus yakin bahawa segala perancangan ini akan terkubur jua. Umat Islam di Palestin akan terus berjuang bagi memerdekakan tanah air mereka. Rancangan Zionis untuk melenyapkan umat Islam daripada peta tersebut tidak akan berjaya sekali-kali. Ini bertepatan dengan Sabda Rasulullah S.A.W:

لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِينَ لَعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَأَيْنَ هُمْ قَالَ بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ

“Akan sentiasa wujud di kalangan umatku yang berjuang atas kebenaran, tegas terhadap musuh dan tidak akan terkesan dengan pihak yang meninggalkan mereka, melainkan menghadapi kesempitan hidup. Hinggalah datang ketentuan Allah dan mereka masih dalam keadaan demikian. Sahabat bertanya siapakah mereka? Sabda Rasulullah mereka di Baitulmaqdis dan sekitar Baitulmaqdis.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

Kedudukan Palestin dan Baitulmaqdis

Baitulmaqdis adalah sebuah kota di dalam peta Palestin. Kerana kemuliaan Baitulmaqdis di sisi Islamlah, perjuangan membebaskan Palestin tidak boleh dianggap enteng.

Perjuangan Baitulmaqdis bukan sebuah perjuangan Nasionalis menuntut kemerdekaan tanah air semata-mata. Ia juga bukan perjuangan Bangsa Arab semata-mata. Ia adalah perjuangan umat Islam sejagat atas nama agama. Sebagaimana Zionis mempergunakan ajaran Yahudi untuk perjuangan Israel mereka, umat Islam juga perlu berdiri atas dasar akidah supaya tanah suci ini dikembalikan kepada kita.

Baitulmaqdis merupakan tanah suci ketiga umat Islam selepas Makkah dan Madinah. Peristiwa Israk dan Mikraj adalah isyarat jelas mengenai kedudukan Masjidil Aqsa kepada umat Muhammad S.A.W. Ditambah juga dengan ayat al-Quran dan Hadis-hadis mengenai kedudukan, kelebihan dan berita akhir zaman mengenainya.

Firman Allah S.W.T:

    سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

 (al-Isra’: 1)

Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W dan juga Hadis Baginda S.A.W menjelaskan bahawa al-Quds adalah milik umat Islam yang mengesakan Allah. Bukan milik mana-mana bangsa khusus. Sesiapa yang berpegang kepada agama Islam, merekalah yang paling layak mentadbir al-Quds.

Palestin dibuka pertama kalinya oleh Nabi Ibrahim A.S, atas perintah Allah supaya berhijrah meninggalkan Kerajaan Babylon yang diperintah oleh Namrud bin Kan’an. Anak Baginda bernama Nabi Ismail A.S diperintahkan bermastautin di Makkah, melahirkan Bangsa Arab dan Nabi akhir zaman Muhammad S.A.W. Seorang lagi anaknya, Nabi Ishak A.S terus menetap di Palestin dan dikurniakan anak bernama Yaakub. Yaakub digelar sebagai Israel, dikurniakan 12 orang anak yang membentuk jalur keturunan Bani (anak) Israel.

Al-Quran merekodkan juga, al-Quds dibuka oleh Talut dengan mengalahkan Jalut atas perintah Allah S.W.T. Talut melantik Nabi Daud sebagai raja. Anak Nabi Daud, Nabi Sulaiman mendirikan kerajaan dunia dengan al-Quds menjadi pusat pemerintahan dan tapak istana Baginda A.S. Kesemua mereka adalah Islam dan patuh kepada Allah S.W.T. 

Al-Quran juga merekodkan, al-Quds sekali lagi diperintahkan untuk dibuka kepada Nabi Musa A.S dan Nabi Harun A.S. Malangnya Bani Israel mengingkari perintah tersebut menyebabkan mereka dihukum sesat di padang pasir selama 40 tahun. Selepas generasi yang ingkar dimatikan, barulah Nabi Yusha’ A.S berjaya menjalankan perintah Allah S.W.T memimpin Bani Israel membuka al-Quds.

Nabi akhir zaman Muhammad S.A.W mengisyaratkan kepada para Sahabat R.A untuk bersolat di Masjidil Aqsa dengan kelebihan-kelebihan yang diterangkan. Waktu itu, Masjidil Aqsa d bawah taklukan Roman Byzantine. Lalu umat Islam berusaha membebaskan kota itu untuk menunaikan saranan Baginda S.A.W tersebut. Akhirnya ia berjaya dibuka pada zaman Saidina Umar al-Khattab, kira-kira 6 tahun selepas kewafatan Rasulullah S.A.W. Menurut kaedah Usul Fiqh, “الأمر بالشيء أمر بلوازمه” bermakna perintah terhadap sesuatu meliputi perintah terhadap semua yang berkait dengannya.

Kesimpulan

Justeru, isu Palestin bukan sekadar sebuah isu politik yang tidak berkesudahan. Ia adalah sebahagian daripada kewajipan beragama bagi setiap yang melafazkan dua kalimah syahadah. Umat Islam yang mempunyai jati diri, pastinya menolak sebarang kerja-kerja kotor untuk normalisasi. 

Ada orang Islam yang melihat perlu hentikan perebutan dan mereka cadangkan supaya bersetuju dengan tawaran perdamaian Amerika. Secara tak langsung mereka menjayakan agenda Deal Of The Century yang saya nyatakan di awal tadi.

Umat Islam perlu sedar bahawa ia bukanlah isu perbalahan sempit, akan tetapi ia adalah isu hak Umat Islam yang dizalimi dan dirampas secara terang terangan. Kirimkanlah doa-doa kita untuk saudara mara kita yang dizalimi di bumi al-Quds.

YB MOHD AKMAL KAMARUDIN
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan
Kerajaan Negeri Perak – HARAKAHDAILY 3/9/2020

- Advertisement -