Muslimat santuni wanita kematian suami

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Muslimat PAS Cawangan Balok Perdana telah mengadakan ziarah dan bacaan Yaasiin serta tahlil sebagai menyantuni ibu tunggal, Zaiton Che Ibrahim dan tiga anaknya di kediaman keluarga ini, di sini pagi tadi.

- Advertisement -

Suami beliau, Hamizan Hamat yang menghidap kanser sejak beberapa bulan lalu telah menghembus nafas terakhir pukul 2:40 petang dan jenazah diuruskan persemadiannya oleh Ahli Kariah Masjid Balok Makmur semalam.

“Kita semua akan berdepan dengan suasana kematian dan akan melalui sakratulmaut, maka hendaklah kita menghadapi saat sebegini dengan tahap kesabaran yang tinggi dan redha.

“Marilah kita sama-sama menghayati kesedihan yang dilalui oleh Zaiton dan sedekahkan bacaan Yaassiin pagi ini kepada arwah suami beliau,” ujar Ketua Muslimat PAS Balok Perdana, Zaimah Mohd mengetuai bacaan.

Rutin yang telah dihidupkan Muslimat PAS Balok Perdana ini bertujuan merapatkan hubungan dan berkongsi serta meredakan perasaan dialami dengan masyarakat setempat atas ujian seumpama dilalui itu.

“Jawatankuasa Muslimat PAS bersedia untuk turun membantu mereka yang berada dalam situasi seperti ini. Terutama wanita di dalam ‘iddah, kerana ini adalah tuntutan syariat.

“Namun ia bergantung kepada kesediaan tuan rumah sebab ada juga tuan rumah tidak bersedia untuk disantuni di saat sebegini,” ujarnya.

Sempena ziarah ini, pihak Muslimat PAS Balok Perdana juga menyampaikan sumbangan barangan dapur untuk Zaiton sekeluarga yang disediakan oleh Pusat Khidmat DUN Beserah. – HARAKAHDAILY 3/9/2020

- Advertisement -