Mehriban Aliyeva dan Azerbaijan

KUALA LUMPUR: Terlibat secara langsung dalam pembangunan Azerbaijan dan menyelesaikan masalah sosial – menjadi antara falsafah hidup Naib Presiden Pertama republik itu merangkap Presiden Yayasan Heydar Aliyev dan Duta Muhibah UNESCO dan ISESCO, Mehriban Aliyeva.

Bergandingan dengan Presiden Ilham Aliyev yang juga teman hidupnya merangkap sekutu rapatnya, Aliyeva memberikan sumbangan besar kepada pembangunan negara di samping berjaya menerajui Yayasan Heydar Aliyev selama 16 tahun. 

Aliyeva dilantik sebagai Naib Presiden Pertama Azerbaijan pada 21 Februari 2017, juga telah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Duta Muhibah UNESCO dan ISESCO.

Advertisement

Fokus utama beliau ialah menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk yang kurang berkemampuan dan penempatan semula mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal termasuk pelarian.

Di samping itu Aliyeva turut menumpukan kepada bidang pendidikan dengan membina sekolah berasrama penuh dan rumah anak yatim yang baharu.

Kira-kira 500 bangunan sekolah dibina dan diubah suai sekaligus dapat menyediakan pendidikan kepada lebih 100,000 pelajar. 

Aspek kesihatan awam dan program amal juga diberikan perhatian oleh wanita hebat ini, dengan menyediakan pusat talasemia yang moden, pusat pemulihan mereka yang mempunyai masalah sindrom Down dan berkeperluan khas selain membantu usaha membendung penularan wabak COVID-19.

Beliau turut berperanan dalam mencari penyelesaian konflik Armenia-Azerbaijan Nagorno-Karabakh.

Sumbangan dan peranan Aliyeva sangat dihargai bukan sahaja oleh rakyat Azerbaijan malah di peringkat antarabangsa. – BERNAMA