Kutipan zakat di Pahang meningkat

- Advertisement -

KUANTAN: Kutipan zakat di Pahang masih berada di landasan yang baik biarpun suasana dunia menghadapi zaman kemelesetan akibat wabak Covid-19.

Sehingga akhir Ogos lepas kutipan zakat berlaku peningkatan 1.5 peratus atau RM1.2 juta berbanding tempoh yang sama 2019.

Seramai 81,104 pembayar zakat harta sehingga 31 Ogos lepas berbanding 80,090 pembayar zakat dengan jumlah RM79.9 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

- Advertisement -

Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah pembayaran zakat beberapa badan korporat akan melonjakkan lagi prestasi kutipan zakat tahun ini.

“Penyumbang terbesar kutipan zakat daripada potongan gaji iaitu sebanyak RM41.1 juta dan bayaran daripada badan-badan korporat serta sektor perniagaan sebanyak RM20 juta,” titah baginda pada majlis serahan zakat perniagaan lapan badan korporat di Istana Abdulaziz di sini, semalam.

Pada majlis itu baginda menerima zakat berjumlah RM12,839,426 daripada lapan badan korporat.

Badan terbabit iaitu Lembaga Tabung Haji, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Tenaga Nasional Berhad, Kumpulan Bank Rakyat, Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad.

Selain itu QSR Brands Malaysia Holding Berhad dan Bank Muamalat Malaysia Berhad. – HARAKAHDAILY 3/9/2020

- Advertisement -