Kelantan sumbang keselamatan makanan negara


KOTA BHARU: Selain Kedah, Kelantan turut menjadi penyumbang industri pertanian negara terutamanya sektor pengeluaran padi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Ustaz Tuan Saripudin Tuan Ismail berkata, sumbangan bagi meningkatkan keselamatan makanan negara.

Advertisement

Kata beliau biarpun pengeluaran padi melebihi sara diri di Kelantan, namun tetap berusaha meningkatkan lagi pengeluaran padi untuk keperluan rakyat di negara ini.

“Bagaimanapun bagi mencapai matlamat tersebut beberapa perkara perlu dipertingkatkan termasuk sistem pengairan yang lebih sempurna.

“Perkara itu saya bangkitkan kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dato’ Seri Dr Ronald Kiandee pada pertemuan di Wisma Tani, Putrajaya semalam,” katanya di sini.

Beliau juga berkata, hasil pertemuan itu menteri bersetuju menyediakan pelan alternatif jangka masa panjang dan pendek bagi mengatasi masalah tersebut.

Kata beliau juga pada pertemuan terbabit turut dibincang beberapa isu termasuk lambakan buah-buahan, pembangunan industri kelapa dan industri asas tani di Kelantan. – HARAKAHDAILY 3/9/2020