Jiwa terhempas di tebing Sungai Pelempas

- Advertisement -

HARI ini, 3 September 2020, genaplah lima bulan secara rasmi, saya dilantik menjadi Setiausaha Politik (SUPOL) kepada Menteri Alam Sekitar dan Air. Pada hari-hari awal menjawat jawatan ini, ada orang politik dan kontraktor datang mendekati, menyatakan jawatan ini sangat diinginkan oleh banyak pihak kerana ada ‘suara yang kuat’ membuat keputusan-keputusan tertentu.

Semenjak dari itu, saya berazam untuk keluarkan dari resam seorang SUPOL seperti itu. Saya mahu SUPOL dikenali sebagai pembantu rapat Menteri menjaga kesejahteraan rakyat dan memberi keadilan kepada yang dizalimi. Saya beriltizam bila sahaja ada aduan rakyat mengenai sesuatu masalah di bawah bidang kuasa kementerian, saya segera menyahutnya.

Bermula dari musim PKP, Pejabat Menteri menerima aduan-aduan rakyat antaranya masalah terputus bekalan air, pencemaran dan banjir. Kes yang mula-mula saya cuba selesaikan ialah masalah terputus bekalan air di sebuah taman perumahan berstatus gated and guarded di Bandaraya Kuala Lumpur. Kemudian masalah penduduk yang berhampiran dengan kediaman saya pula membuat aduan mengenai projek prasarana yang mencerobohi persekitaran perumahan mereka.

- Advertisement -

Sememangnya tidak mudah untuk menyelesaikan masalah rakyat kerana ia melibatkan pelbagai pihak dalam agensi kerajaan dan luar agensi kerajaan. Dahulu, semasa di luar kerajaan, mudah untuk kita mengutarakan cadangan dan mengkritik kerajaan. Bila berada di dalam kerajaan, ia tidak mudah sebenarnya. Apa yang penting kita berusaha sedaya mungkin sehingga ke noktah terakhir agar masalah itu dapat diselesaikan.

Terdapat masalah yang diadukan, sebenarnya di luar bidang kuasa kementerian. Saya tetap berusaha untuk mencari di mana perkaitannya dengan kementerian. Aduan rakyat berkaitan dengan projek prasarana seperti disebut di atas, sebenarnya di luar bidang kuasa Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), tetapi penduduk minta untuk menolong mereka. Akhirnya saya terpaksa pasrah juga, apabila persekitaran kediaman mereka telah dicerobohi pemaju.

Esok, 19 rumah penduduk di Desa Subang Perantau berhampiran Sungai Pelempas, Daerah Petaling, akan dirobohkan. Kes ini adalah masalah keempat yang saya cuba selesaikan dengan matlamat mengelakkan rumah-rumah penduduk tersebut dirobohkan. Saya telah turun ke Desa Subang Perantau bertemu penduduk pada 1 Julai 2020, dan mendengar pandangan mereka.

Semenjak dari itu, saya turun naik ke agensi-agensi kerajaan yang terlibat dengan Projek Tebatan Banjir ini seperti JPS Selangor, Pejabat Tanah Daerah Petaling sehingga bertemu dengan kerajaan negeri. Punca kepada masalah ini ialah rekabentuk projek yang dibuat oleh sebuah Syarikat Perunding, yang tidak bersedia mengelak rumah-rumah penduduk. Berdasarkan pengetahuan saya sedikit sebanyak dalam Geomorlogi Sungai, rekabentuk tersebut boleh diubah.

Saya teringat semula betapa pentingnya ilmu etika diajar kepada mahasiswa, supaya apabila mereka berkerjaya nanti, mereka mempunyai peri kemanusiaan yang tinggi. Ilmu Kejuruteraan bukanlah untuk mereka berinteraksi dengan jentera dan struktur yang mati, tetapi sebenarnya mereka berinteraksi dengan manusia. Ilmu pengurusan bukanlah untuk mereka berinteraksi dengan polisi-polisi atas kertas yang kaku, tetapi berhadapan dengan manusia yang mempunyai seribu satu keperluan.

Sekiranya semua pihak meletakkan diri mereka sebagai penduduk, bukan meletakkan diri mereka atas kuasa profesion sebagai pegawai, perunding, jurutera, politikus atau lain-lain yang mereka jawat sekarang, saya yakin penyelesaian itu boleh dicapai. Cuba mereka ini bayangkan, rumah yang bakal dirobohkan itu rumah ibubapa mereka, adik-beradik mereka dan saudara-mara mereka, sudah tentu mereka akan cuba sedaya upaya membantu menyelesaikan masalah yang penduduk hadapi.

Saya cuba meletakkan diri saya berada di tempat penduduk, justeru saya cuba sedaya upaya membantu dengan bidang kuasa yang ada di bawah kementerian. Bagaimanapun, projek itu bukan di bawah KASA, yang hanya ada sekelumit peranan ke atas projek ini. Saya mengingatkan semua pihak, jangan kita takbur dengan kuasa yang ada pada kita. Kezaliman yang kita buat atas sesiapa sahaja ketika kita berkuasa, sedikit pun tidak terlepas dari balasan Allah. Di dunia ini kamu boleh memberi seribu satu alasan, di akhirat nanti bagaimana kamu berhadapan dengan mahkamah Allah.

Beberapa ketika lagi 19 rumah penduduk di Desa Subang Perantau akan dirobohkan. Betapa luluhnya hati mereka, rumah yang mereka dirikan bertahun-tahun lalu tersembam ke bumi. Jiwa saya pun rasa terhempas melihat air mata mereka menitis.

DR MOHD ZUHDI MARZUKI – HARAKAHDAILY 3/9/2020

- Advertisement -