Janji masa depan cerah buat rakyat

Petunjuk dari kemenangan pada PRK DUN N.58 Slim

- Advertisement -

POLITIK Malaysia menjadi semakin rancak dan menarik sejak Kerajaan Pakatan Harapan roboh dan digantikan dengan kerajaan baru Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak 5 bulan lalu. Sejak itu PH terpaksa duduk di bangku pembangkang.

Berbagai usaha dan pendekatan digunakan oleh PH untuk mahu kembali ke puncak kuasa yang sudah pasti mereka rindui itu. Cubaan untuk menduga keabsahan Kerajaan PN, menggagalkan pelantikan Speaker Dewan Rakyat dan yang baru dan terbaru menyerang seorang Menteri Kabinet yang mereka dakwa kononnya menerima layanan istimewa sepulangnya dari luar negara, dilancarkan bertubi-tubi tetapi tiada yang menjadi apatah lagi menggugat keyakinan rakyat terhadap kerajaan baru ini.

Sedang mereka ghairah menyerang mereka tidak menduga mereka juga tidak sunyi dari terpalit dengan pelbagai isu dan kontroversi yang sesungguhnya makin menyemarakkan lagi kemarahan rakyat terhadap mereka yang gagal memerintah sebagaimana dijanjikan sepanjang 22 bulan berkuasa.

- Advertisement -

Mereka cuba menjuarai isu integriti dan memomokkan isu kleptokrasi tetapi Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan isterinya pula didakwa di mahkamah atas kes rasuah dan salah guna kuasa. Rakyat dikhabarkan dari hal tuntutan 10 peratus dari sebuah syarikat yang diberikan projek mega di Pulau Pinang ketika Lim Ketua Menterinya dahulu. Pasti banyak lagi maklumat yang akan terdedah apabila mahkamah mulakan perbicaraan nanti.

Selain itu isu perolehan secara runding terus atau ‘direct nego’ panas di Parlimen apabila Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abd Aziz mendedahkan bahawa semasa 22 bulan pemerintahan PH, perolehan cara runding terus bukannya dihapuskan sebagaimana janji pilihan raya PH tetapi terus rancak diamalkan sehingga diluluskan 101 projek melalui kaedah ini dengan perbelanjaan melibatkan RM6.61 bilion.

Melompat-lompat bekas Menteri-menteri PH terutama bekas Menteri Kewangan bersilat dan bertaichi apabila menerima pendedahan mengejutkan ini, isunya bukannya kaedah rundingan terus itu, kerana ia suatu amalan yang diterima pakai berdasarkan syarat-syarat ketat yang dikenakan MOF, tetapi isu sebenar adalah janji PH mahu menghapuskan amalan ini yang ia dakwa kononnya tidak telus.

Janji 100 hari PH jika menjadi kerajaan adalah mahu menghapuskan perolehan secara runding terus ini tetapi malangnya bukan 100 hari malah lebih 660 hari mereka memerintah ia bukannya berjaya dihapus tetapi sebaliknya terus diamalkan. Tidakkah ini membongkar betapa rakyat selama ini tertipu oleh janji-janji manis mereka?

Dan belum pun reda mereka menepis kepincangan mereka sendiri, berlaku pula suatu ‘upset’ terbaru yang semakin menghakis keyakinan rakyat terhadap mereka. Keputusan Pilihan Raya Kecil DUN Slim Sabtu lepas seakan memberi gambaran masa depan yang kelam buat PH.

Barisan Nasional dengan dukungan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) telah menang dalam 6 PRK sebelum ini, iaitu di 3 kerusi Parlimen dan 3 kerusi DUN terakhir di DUN Chini. Dalam kesemua 6 PRK itu calon-calon PH kecundang termasuklah di dua Parlimen milik mereka iaitu Cameron Highlands dan Tg Piai serta di 1 DUN iaitu Semenyih di Selangor. Kejayaan MN dalam 6 PRK berturut-turut itu menandakan susutnya sokongan PH terutama di kawasan-kawasan majoriti pengundi Melayu.

Dan di Slim MN terus mengajar PH dengan majoriti yang luar biasa, iaitu 10,945 undi berbanding majoriti PRU lalu iaitu 2,183 undi. Di Slim walaupun calonnya bukan dari PH, tetapi calon Bebas yang bertanding adalah calon blok Tun Dr Mahathir yang kononnya mahu mendaftar parti baru. Calon Tun ini disokong oleh PH terutama pimpinan dari PAN dan DAP yang rancak turun berkempen. 

Di Slim calon BN menang di kesemua 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) termasuklah di peti-peti undi bukan-Melayu iaitu kawasan majoriti Cina dan India. Umum mengetahui pengundi bukan-Melayu merupakan ‘fixed deposit’ PH dalam PRU ke-14 lalu, rupanya ia telah mula cair di Slim. Mungkinkah sokongan mereka terhadap PH akan semakin dingin menguncup dalam PRU akan datang?

Sesungguhnya perkembangan di Slim ini mencerminkan muafakat politik antara PAS dan Umno sudah begitu kukuh dan kental sehingga diterima terang-terangan oleh rakyat pelbagai kaum khususnya umat Melayu. Ia satu-satunya pilihan terbaik buat rakyat dewasa ini.

Seorang wartawan akhbar The Star mengulas kemenangan besar ini dengan berkata: “Penyatuan tenaga MN telah sekali lagi membuktikan ianya terlalu kuat buat PH dan pembangkang. Keputusan ini mengesahkan bahawa MN adalah pilihan masyarakat Melayu luar bandar di Semenanjung”. Manakala seorang pengulas politik kontroversial pro pembangkang Mohd Sayuti Omar di dalam Facebook-nya pula mencatatkan: “….. ternyata muafakat antara Umno dan PAS bakal menjadi satu gelombang politik baru khususnya di kawasan-kawasan kerusi yang didominasi oleh orang Melayu.”.

Itulah hakikatnya, kuasa politik yang terbentuk dari kerjasama dua parti politik Melayu Islam terbesar dalam negara iaitu PAS dan Umno melalui MN kini sudah diterima dan diiktiraf rakyat. Ia kini melahirkan satu politik baru yang bakal membawa negara ke mercu dimensi politik baru di mana kesedaran mempertahankan hak dan kepentingan umat Melayu dan agama Islam menjadi keutamaan selain memberi keadilan pada semua, ia juga beriltizam melahirkan saf kepimpinan yang bertakwa, bersih dan berintegriti.

Muafakat ini kini sebahagian dari Kerajaan Perikatan Nasional dan terbaru keluarganya menjadi semakin besar dengan penyertaan PPBM atau BERSATU. Semoga semua kepimpinan politik baru ini terus bermuafakat dengan matang dan penuh hikmah, berjiwa besar dan bertolak ansur secara baik kerana merekalah harapan dan masa depan rakyat Malaysia sebagaimana diisyaratkan oleh keputusan PRK Slim.

Sudah pasti rakyat di Sabah dan kemudiannya nanti di Sarawak menunggu-nunggu kemunculan politik baru ini di negeri mereka masing-masing. Jelas politik penipuan dan propaganda kosong, perkauman, cauvinis, ekstrem dan mengejar agenda peribadi yang mementing kroni dan kaum keluarga sudah ditolak rakyat.

Jika semuanya telah disusun kemas dan rapi, tidak ada sebab permuafakatan kukuh ini tidak boleh menuntut agar Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan pada PRU baru agar mandat rakyat secara resmi dapat diperolehi. Ketika itu PH menjadi bahan sejarah dan rakyat Malaysia pasti akan hidup aman dan selesa.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 3/9/2020 

- Advertisement -