Himpunan pertahan tanah air

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Satu perhimpunan Anti Pencerobohan Tanah Haram dan Penentang Tulisan Jawi anjuran Gabungan Pertubuhan Melayu Islam Raub telah diadakan di Raub, Pahang, hari ini.

Berucap pada himpunan itu, Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata perhimpunan tersebut diadakan bagi mempertahankan tanah air yang sedang dirompak.

- Advertisement -

Beliau menyifatkan pencerobohan tanah di Raub oleh 111 pekebun durian Musang King sebagai satu agenda pihak tertentu sebelum menguasai negara namun sudah berani merompak tanah ini.

“Kita suruh mereka keluar, mereka kata kita rasis. Rasiskah kita kalau tanah kita dirompak?” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta pihak undang-undang mahkamah untuk menegakkan undang-undang dengan seadilnya.

“Mereka telah langgar undang-undang tanah negara. Mereka telah mengaut keuntungan jutaan ringgit, berpuluh tahun mengaut hasil kekayaan negara. Namun tidak membayar satu sen pun kepada kerajaan Negeri Pahang,” ujarnya.

“Kita berhimpun pada hari ini bersetuju duduk di belakang Menteri Besar Pahang dan kita mahu menampakkan Menteri Besar Pahang adalah Mat Kilau di negara ini yang mempertahankan tanah air kita,” katanya pada perhimpunan itu.

Isu pencerobohan tanah haram di Raub oleh pengusaha durian Musang King mula mendapat liputan media tempatan susulan pada 28 Ogos lalu seramai 111 pengusaha kebun berjaya mendapat Perintah Pergantungan Sementara terhadap notis pengosongan tanah kebun dan pajakan.

Perintah berkenaan dimohon selepas pada 1 Ogos lalu kerajaan Negeri Pahang mula bertindak tegas untuk menangani kegiatan aktiviti pertanian secara haram dengan mengeluarkan notis pengosongan tanah kebun dan pajakan kepada penceroboh.

Pencerobohan yang dilakukan sejak sepuluh tahun lalu menyebabkan kerajaan negeri kerugian hampir RM30 juta daripada cukai hasil melibatkan tanah seluas 4,400 hektar membabitkan Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras. – HARAKAHDAILY 3/9/2020

- Advertisement -