PAS Pulau Pinang kesal terhadap tindakan daripada kerajaan negeri yang masih berdegil mahu berunding dengan nelayan bagi meneruskan projek penambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang atau ‘Penang South Reclamation’ (PSR).
Kenyataan Datuk Seri Farizan yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PICSB) yang menjadi perantara kerajaan negeri dan nelayan berkata nelayan lebih mudah menerima cadangan projek PSR setelah memahami lebih lanjut mengenai projek tersebut dilihat bertentangan dengan perkara yang diperjuangkan oleh nelayan selama ini.
Projek PSR akan menjejaskan sumber perikanan yang secara langsung memberi kesan kepada 4,996 nelayan dan 511 penternak akuakultur marin di Pulau Pinang. Pampasan yang bakal diterima oleh mereka juga tidak akan setimpal dengan bebanan yang bakal ditanggung oleh mereka dalam jangka masa 30 tahun. Mana mungkin nelayan-nelayan muda yang perlukan sumber rezeki untuk membesarkan anak-anak dapat meneruskan kehidupan apabila sumber rezeki mereka dimusnahkan secara kekal.
Jabatan Perikanan Malaysia pula secara jelas telah menyatakan projek PSR akan memberi kesan kepada hasil tangkapan ikan dan perolehan nelayan disebabkan kemusnahan kekal sumber perikanan di kawasan Teluk Tempoyak, Permatang Damar Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul.
Pada masa ini jumlah tangkapan marin di Pulau Pinang yang dianggarkan sebanyak 51,184 tan metrik dengan nilai RM555 juta setahun, manakala pengeluaran akuakultur ikan marin dianggar sebanyak 45,742 tan metrik bernilai RM1.67 billion setahun. Sekiranya projek ini diteruskan, maka pendapatan ini akan terjejas teruk.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga perlu mematuhi 18 nasihat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) dan 72 syarat Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) dalam melaksanakan projek PSR ini. Syarat yang banyak untuk dilaksanakan. Menteri Alam Sekitar dan Air juga telah menyatakan projek ini tidak dapat dilaksanakan selagi rayuan nelayan membantah PSR tidak diselesaikan.
PAS Pulau Pinang berharap agar kerajaan negeri menghentikan usaha untuk meneruskan rundingan dengan nelayan dan projek PSR ini. Diharap Kerajaan Persekutuan juga mengambil tindakan terhadap ancaman yang bakal diterima oleh para nelayan khususnya dan penduduk Pulau Pinang umumnya.
Sekian, terima kasih.
“Islam Memimpin Perpaduan”
USTAZ MUHAMMAD FAUZI YUSOFF
Pesuruhjaya
PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 3/9/2020