Dr Zulkifli umum pelantikan jawatankuasa teknikal

KUALA LUMPUR: Seramai sepuluh Ahli Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil baharu dilantik yang diketuai oleh Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman sebagai pengerusi jawatankuasa itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pelantikan baharu ini berkuat kuasa mulai 16 Ogos lalu sehingga 15 Ogos 2023.

Advertisement

Katanya, jawatankuasa baharu ini telah pun mengadakan perbincangan bagi meneliti penambahbaikan yang bakal dilakukan berkaitan undang-undang syarak yang bersesuai dengan keadaan semasa.

“Kita sentiasa menyokong usaha bagi memperkasakan mahkamah syariah dalam memberikan satu kelincinan pelaksanaan dan penguatkuasaan merangkumi masalah prosedur dan hal-hal berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat pelantikan Ahli Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil di Sama-Sama Hotel, malam tadi.

Dalam masa yang sama, Zulkifli berkata kementeriannya bercadang untuk membentangkan pindaan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) pada sesi Parlimen November depan.

Jelasnya, antara pindaan Akta 505 yang akan melibatkan tadbir urus agensi agama di Wilayah Persekutuan, memperkukuh tadbir urus Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan isu berkaitan mahkamah syariah.

Justeru, katanya ahli jawatankuasa baharu ini akan terlibat secara langsung untuk membincangkan dengan lebih mendalam berkaitan penambahbaikan Akta 505 sebelum sebarang pindaan dilakukan. – HARAKAHDAILY 3/9/2020