Ambil tindakan majikan ingkar syarat ERP, PSU

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebanyak 243 aduan diterima berhubung tindakan majikan mengingkari terma dan syarat di bawah Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) dan Program Subsidi Upah (PSU) dengan tidak menyalurkan bantuan diterima kepada pekerja yang layak.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim berkata daripada jumlah tersebut, 215 kes diterima di bawah program PSU, manakala selebihnya melibatkan program ERP.

“Perkeso berhak menggantung bayaran dan menuntut semula bayaran yang diterima. Tindakan undang-undang juga akan diambil terhadap majikan yang gagal mematuhi syarat ditetapkan,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Prof Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu Shah yang meminta kementerian itu menyatakan bilangan pekerja memohon subsidi ERP serta bilangan aduan dan tindakan dikenakan terhadap majikan.

Untuk rekod, Awang berkata senarai nama majikan yang membuat permohonan dan diberikan kelulusan untuk program itu dipaparkan menerusi laman sesawang PERKESO untuk tujuan semakan pekerja bagi membolehkan mereka membuat aduan terhadap majikan jika tidak berpuas hati.
 
Selain itu, beliau berkata kementerian turut mewujudkan kaunter khidmat pelanggan serta talian khas berkenaan PSU dan ERP untuk menangani urusan berkaitan permohonan dan aduan.

Pada masa sama, Awang berkata PERKESO telah mengadakan task force khas untuk mengawal selia semua permohonan dan aduan berkaitan pematuhan majikan yang menerima subsidi itu dan mana-mana majikan yang ingkar akan dihubungi untuk tindakan susulan.

Jelasnya, antaranya tindakan dilakukan termasuk disenarai hitam sekiranya ada tuntutan tidak dibayar, menghentikan pembayaran untuk bulan berikutnya serta laporan polis terhadap kes penyalahgunaan PSU. – BERNAMA

- Advertisement -