Rayuan BSH hingga 6 September

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa Permohonan Rayuan Bantuan Sara Hidup (BSH) dibuka sehingga 6 September ini dengan tiada sebarang bayaran dikenakan.

Menterinya, Dato’ Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz berkata, proses rayuan boleh dibuat di cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pusat Khidmat Hasil (PKH), Pusat Transformasi Bandar (UTC) atau secara dalam talian bagi pemohon yang berstatus ‘tidak lulus’ tertentu saja dan boleh juga layari pautan bsh.hasil.gov.my/ untuk maklumat lanjut.

- Advertisement -

Katanya, seramai 4.18 juta penerima BSH yang ditambahbaik di bawah pakej Prihatin telah berjaya menerima bayaran RM2.7 bilion yang dikreditkan terus ke dalam akaun bank penerima.

“Bagi penerima BSH yang gagal kredit atau bayaran tidak dapat disalurkan ke dalam akaun bank boleh menuntut secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) sehingga 31 Desember ini,” katanya ketika menyampaikan Laporan LAKSANA Ke-19 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), hari ini.

Bagi skim pengeluaran i-Lestari di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) katanya, sehingga 21 Ogos lalu, jumlah pengeluar kumulatif di antara April sehingga Ogos adalah sebanyak RM7.48 bilion (peningkatan daripada RM7.4 bilion minggu lalu) dan melibatkan 4.57 juta penerima (peningkatan daripada 4.55 juta).

“Kerajaan berharap inisiatif ini terus mengurangkan beban aliran tunai bulanan rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, bagi program subsidi upah pula, Zafrul berkata sehingga 21 Ogos, sebanyak RM10.3 bilion telah diluluskan yang memanfaatkan lebih 2.61 juta pekerja. Daripada jumlah itu, sebanyak RM8.9 bilion telah berjaya disalurkan.

“Dana Pinjaman Mudah Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia. Setakat 21 Ogos 2020 jumlah permohonan yang telah diluluskan oleh bank-bank tempatan dan disetuju terima oleh PKS adalah RM10.2 bilion (peningkatan daripada RM10.1 bilion minggu lalu) yang akan memberi manfaat kepada 22,322 PKS (peningkatan daripada 22,143 PKS minggu lalu,” katanya.

Manakala, bagi Moratorium bayaran Balik Pinjaman institusi Kewangan setakat 21 Ogos dianggarkan berjumlah RM78.14 bilion.

Jelas Zafrul lagi, daripada angka itu, sebanyak RM27.35 bilion adalah jumlah yang dimanfaatkan oleh sektor perniagaan, manakala jumlah yang dimanfaatkan oleh rakyat bernilai RM50.79 bilion.- HARAKAHDAILY 2/9/2020

- Advertisement -