PN tidak sentuh sensitiviti agama seperti PH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hakikat bahawa wujud persepsi positif masyarakat terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak boleh ditolak di mana berbeza dengan PH yang dilihat mengambil pendekatan longgar bersabit isu-isu agama.

- Advertisement -

Perkara ini dibentang mewakili tiga panel pada Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN: ‘Pencapaian, Harapan dan Cabaran’ anjuran Pertubuhan Intelektual Negara di Persatuan Alumni UM Club House, Damansara, di sini semalam.

Mereka ialah Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor, Prof Dato’ Mohd Yakub @ Zulkifli Mohd Yusoff dan Muhammad Khalis Ibrahim daripada Universiti Malaya yang menegaskan PN tidak begitu menyentuh isu-isu sensitif melibatkan agama dan kaum.

“Malah, di mata masyarakat, tiga parti teras bagi Kerajaan PN, iaitu BERSATU, Umno dan PAS, dilihat merupakan gabungan yang meyakinkan dalam membawa suara Melayu-Islam.

“Pandangan ini mempunyai asasnya jika dilihat berdasarkan tempoh setengah tahun pentadbiran PN ini, di mana tidak timbul isu yang boleh mengguris sensitiviti agama daripada pihak kerajaan.

“Senario ini agak berbeza jika dibandingkan semasa era PH, di mana beberapa sikap yang tidak popular pada pandangan masyarakat Melayu-Islam telah diambil oleh kerajaan yang melibatkan pendidikan, perundangan dan sebagainya,” ujar mereka.

Turut disentuh adalah pelantikan Senator Datuk Dr Zulkifli al-Bakri sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama apabila portfolio itu diberi kepada bekas Mufti yang sudah tentu berwibawa dalam perkara agama.

Mereka turut membandingkan Dr Zulkifli yang sentiasa tenang, merendah diri dan tidak mudah melatah berbeza dari mantan Menteri Agama sebelumnya iaitu Dato’ Seri Dr Mujahid Yusof di mana agak kontroversi.

Kerajaan PN juga kata mereka, melantik jawatan ke institusi berkaitan agama kepada tokoh dalam bidang tersebut dan bukannya berlatarbelakang politik, sekali gus diyakini mampu menjana idea dan fungsi berkaitan.

“Hal ini adalah berbeza dengan pelantikan semasa pentadbiran PH, di mana sebahagian besar dipilih dari kalangan mereka yang terlibat secara langsung dengan politik kepartian.

“Ini termasuk mereka yang dilihat sering mengecam individu-individu yang tidak sealiran secara terbuka di dalam media-media sosial. Ada kalanya kecaman itu kelihatan keterlaluan dan tidak mencerminkan adab serta akhlak seseorang yang berada di dalam badan dakwah.

“Disebabkan itulah ketika PH membawa agenda Rahmah, walau ia kelihatan sangat menarik secara luarannya, tetapi tindakan-tindakan di bawah telah sedikit sebanyak mengganggu agenda Rahmah yang cuba diketengahkan.

“Maka, jadilah Rahmah itu sebagai slogan yang hanya manis disebut di bibir, walaupun sebenarnya ia boleh menjadi agenda untuk diketengahkan ke peringkat dunia bagi tujuan mewujudkan keamanan global,” ujar mereka. – HARAKAHDAILY 2/9/2020

- Advertisement -