PAS Raub sertai perbarisan Hari Kemerdekaan

RAUB: Perbarisan Sambutan Kemerdekaan Ke-63 Peringkat Daerah Raub telah berlangsung meriah walaupun dalam norma baharu prosedur operasi standard (SOP) di Dewan Titiwangsa UiTM Cawangan Raub, di sini kelmarin.

Advertisement

Ketua Muslimat PAS Kawasan Raub, Habidah Salleh bersama Ahli Jawatankuasanya turut menyertai majlis bersejarah ini yang melibatkan juga wakil daripada Umno, BERSATU, MCA, MIC serta pelbagai pertubuhan dan komuniti lain.

Tidak ketinggalan juga adalah kalangan pimpinan masyarakat setempat mewakili Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), para Penghulu Mukim, serta kaki tangan perkhidmatan awam dan Ketua-ketua Jabatan.

Seluruh hadirin dan peserta telah mengikuti ucapan perasmian disampaikan ADUN Dong, Dato’ Seri Shahirudin Moen mewakili Menteri Besar selepas kumpulan perbarisan diperkenalkan oleh Pegawai Daerah Raub, Dato’ Mohammad Shahid Ismail.

Hadirin dan peserta juga mengikuti Warkah Hari Kemerdekaan yang dibacakan oleh Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail melalui pancaran secara siaran langsung daripada Kuantan menyampaikan mesej kemerdekaan bagi tahun ini.

Seluruh anggota perbarisan dan hadirin kemudiannya bersama melafaz ikrar yang diketuai bacaan oleh Juara Silat Astro 2019, adik Muhammad Faiz Zahari daripada Kampung Ulu Dong.

Turut memeriahkan majlis adalah persembahan kebudayaan tarian Melayu dan Orang Asal dan majlis berakhir dengan laungan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali oleh Dato’ Mohammad Shahid. – HARAKAHDAILY 2/9/2020