PAS Kampar anjur Konvoi Prihatin Merdeka

- Advertisement -

KAMPAR: PAS Kawasan Kampar telah menganjurkan Konvoi Prihatin Merdeka bertujuan memugar nilai patrotisme dalam kalangan ahli pada program yang diadakan sekitar daerah ini, di sini semalam.

- Advertisement -

Pengarah program, Bohari Hashim ketika ditemui berkata, program julung-julung kali diadakan di peringkat PAS Kampar bertujuan menyemarakkan lagi Hari Kemerdekaan yang mengangkat tema ‘Malaysia Prihatin’.

Menurut Bohari, sempena program ini, pihaknya bukan sahaja mahu menebarkan kecintaan kepada negara, tetapi juga untuk menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik.

Program ini dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan Yang Dipertua PAS Kampar, Ustaz Sofian Rejab serta nyanyian lagu patriotik di Medan Selera Batu Karang.

Seterusnya konvoi yang disertai oleh Ahli Jawatankuasa PAS Kampar, Urusan Ulamak, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, ARC Kampar dan Jabatan AMAL ini menyampaikan bantuan prihatin di enam lokasi.

Iaitu di Kampung Gunung Mesah Hilir, Kota Bahru, Tanjung Tualang, Bukit Pekan, Air Hitam Labu dan berakhir di Dataran Kampar, selain diisi dengan aktiviti Kuliah Dhuha, penyampaian sijil keahlian dan sesi menyantuni ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kampar.

Hadir sama dalam program itu, Ketua Pemuda PAS Kampar, Ts Mohd Shahrizan Ahmad Fuat dan Ketua Urusan Ulamak PAS Kampar, Ustaz Tadri Mazir. – HARAKAHDAILY 1/9/2020

- Advertisement -