Pakar akui Kerajaan PN fokus isu perpaduan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Walaupun negara sudah 63 tahun mencapai kemerdekaan, namun hakikatnya hubungan etnik tidak semakin memusat, sebaliknya kian mencapah, demikian kata Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dato’ Dr Teo Kok Seong.

- Advertisement -

Menurut beliau, apabila Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengadakan Kementerian Perpaduan secara khusus, ia menunjukkan ‘pengakuan’ bahawa negara mempunyai masalah dalam perkara itu, tetapi kerajaan bertindak tepat dengan mewujudkannya.

Hal tersebut puji beliau, adalah antara pencapaian Kerajaan PN walaupun baharu enam bulan memerintah yang disifatkannya sebagai pandangan jauh daripada ketua kerajaan yakni Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berucap dalam Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN: ‘Pencapaian, Harapan dan Cabaran’ anjuran Pertubuhan Intelektual Negara di Persatuan Alumni UM Club House, Damansara, di sini semalam.

“Saya kira sudah sampai waktunyalah dengan tertubuhnya sebuah Kementerian penuh ini, kita selesaikan masalah perpaduan negara dan kita selesaikan masalah integrasi nasional ini secara strukturalnya. Sebelum ini, kita menyelesaikan masalah ini secara situational.

“Macam bombalah, kita padam api. Jadi, kali ini kita perlu tahu, kita perlu cari punca mengapa rumah ini selalu terbakar. Mengapa rumah ini selalu terbakar.

“Jadi saya kira itu juga cabaran besar, adakah kerajaan sekarang ini sanggup menyelesaikan masalah perpaduan negara dan juga integrasi nasional,” katanya melihat Kerajaan PN mahu berhadapan dengan masalah besar tersebut dan betul-betul mahu menanganinya.

Terdahulu dalam pembentangannya itu, beliau menerangkan bahawa kementerian penuh pernah ada pada tahun 1972, tetapi selepas 1974 telah menjadi sebahagian portfolio sahaja dalam kementerian yang diwujudkan hinggalah hal ehwalnya pernah diletak di bawah Jabatan Perdana Menteri sahaja. – HARAKAHDAILY 2/9/2020

- Advertisement -