Paip bocor di luar jangkaan AKSB

- Advertisement -

MACHANG: Kebocoran paip yang berlaku di Kampung Pulai Chondong merupakan insiden di luar jangkaan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, gangguan bekalan air diharap dapat diselesaikan hari ini ekoran kerja keras kakitangan AKSB.

- Advertisement -

Katanya, AKSB akan menyalurkan sebahagian air dari Loji Rawatan Air Merbau Chondong iaitu sebanyak 15 juta liter sehari sebagai percubaan.

“Walaupun tidak sepenuhnya atau dengan kuantiti tidak banyak tetapi pengurusan AKSB mencuba sedaya upaya membekalkan air bersih kepada pengguna.

“Jadi kita jangka hari ini sudah dapat diagih air kepada pengguna. Dengan penuh rasa tanggungjawab semua pihak terpaksa bekerja keras membaiki kerosakan yang berlaku,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau kerja-kerja pembaikian paip tersebut di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti, Dato’ Sr Azami Mohd Noor dan Pengurus Besar AKSB, Dato’ Ir Dr Azuhan Mohamed.

Kejadian paip pecah yang berlaku pada 27 Ogos lepas menyebabkan 32,018 akaun pengguna di seratus kawasan di Kota Bharu selatan dan timur serta Machang dan Pasir Puteh mengalami gangguan bekalan air.

Gangguan berlaku berikutan paip mentah jenis GRP bersaiz 1,100 mm pecah di Kampung Pulai Chondong.

Oleh itu Menteri Besar meminta maaf kepada pengguna yang terlibat dengan ganggu bekalan air tersebut. – HARAKAHDAILY 2/9/2020

- Advertisement -